Pesara rugi RM40,000 ditipu Macau Scam

Iklan
Noorzainy Mohd Noor

KEPALA BATAS - Seorang pesara kerajaan kerugian RM40,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 60-an itu dikatakan menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memaklumkan dia terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa kemudiannya disambungkan panggilan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kota Bahru, Kelantan dan bercakap dengan anggota polis yang bernama Sarjan Fauzi.

"Pegawai penyiasat tersebut memaklumkan mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan salah seorang suspek telah pun ditahan.

Iklan

"Sarjan berkenaan memberitahu mangsa kes ini masih dalam siasatan dan dia diminta tidak memaklumkan kepada sesiapa memandangkan mangsa merupakan suspek selain perlu memberikan kerjasama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Noorzainy berkata, disebabkan terlalu takut dengan perkara itu, mangsa tanpa berfikir panjang hanya menurut semua arahan yang diberikan oleh sarjan terbabit termasuk melakukan pindahan wang tunai ke akaun diberikan.

Iklan

Katanya, mangsa melakukan dua transaksi perpindahan wang ke dalam dua akaun bank berjumlah RM40,000 atas tujuan siasatan pihak Juru Audit Negara.

Bagaimanapun, selepas menyedari dia ditipu Noorzainy berkata, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada selain tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.

"Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan," katanya.