Kastam gagalkan cubaan seludup 15,456 katrij vape disyaki mengandungi dadah

Iklan
Aspalila (tengah) menunjukkan katrij vape yang dirampas pada 14 November lalu. Foto: JKDM KLIA

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup 15,456 katrij rokok elektronik (vape) bernilai lebih RM1.5 juta yang disyaki mengandungi cecair dadah jenis methamphetamine menerusi perkhidmatan penghantaran kargo, baru-baru ini.

Rampasan dilakukan Bahagian Perkastaman, Cawangan Import dan Zon Bebas JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 14 November lalu.

Iklan
Iklan

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila AG Tuah berkata, pemeriksaan kira-kira jam 12.30 tengah hari mendapati katrij vape itu dibawa masuk dari Kuching, Sarawak ke Zon Perdagangan Bebas KLIA menggunakan Borang Kastam No 3.

Menurutnya, kesemua katrij vape itu disita bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan lanjut.

Iklan

JKDM merampas 1,5,456 katrij vape mengandungi cecair dadah pada 14 November lalu.

"Modus operandi yang dikesan adalah dengan menggunakan perkhidmatan penghantaran kargo, manakala dadah disembunyikan dalam bentuk cecair bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan syarikat pengendali penghantaran kargo terbabit sudah dipanggil bagi membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, JKDM turut merampas dua kotak disyaki mengandungi 26.55 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai lebih RM1.32 juta di sebuah premis Pengendali Terminal Kargo (CTO), Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 4 November lalu.

Aspalila berkata, kedua-dua kotak berkenaan dipercayai untuk dieksport ke sebuah negara di Oceania.

"Hasil pemeriksaan rapi anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA menemukan 26 ketulan kristal mampat disyaki dadah jenis methamphetamine yang dibalut menggunakan bungkusan plastik teh," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.