Keusahawanan dekat di hati Noh Omar

Iklan
Noh

[VIDEO] RUTIN hariannya yang agak padat hampir 25 tahun lalu bersama rakyat dan berada dalam arena politik negara tidak memberikan masalah kepada susuk tubuh, Tan Sri Noh Omar.

Malahan, kreadibilitinya dalam menerajui beberapa kementerian dan agensi kerajaan berkaitan usahawan telah melahirkan ramai usahawan dalam pelbagai bidang sekali gus memacu merancakkan ekonomi negara.

Iklan
Iklan

Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Noh menceritakan kecintaannya terhadap dunia keusahawanan dan membentangkan visinya bersama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang baru diterajuinya.

Beliau berkongsi pandangan mengenai situasi politik semasa khususnya di Selangor. Ikuti temu bual Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa; Editor Bisnes, Hafezdzullah Mohd Hassan dan wartawan Norshahzura Mat Zuki bersama Noh di pejabat PUNB, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan

SINAR AHAD: Tan Sri meletak jawatan Pengerusi MISC Berhad (MISC) selepas 17 hari memegang jawatan itu tetapi kemudian memilih untuk menjadi Pengerusi PUNB pula. Boleh Tan Sri jelaskan mengapa?

NOH: MISC mempunyai elaun dan gaji dua kali ganda daripada gaji di PUNB tetapi saya lihat perkapalan tidak sesuai dengan jiwa saya kerana tidak dapat membantu rakyat secara keseluruhannya. Dalam perkapalan hanya usahawan tertentu yang boleh saya bantu. Ia juga lebih sesuai diterajui oleh ahli-ahli politik yang sudah bersara. Saya masih lagi Ahli Parlimen Tanjung Karang di Selangor, jadi saya rasa tidak sesuai untuk berada di MISC walaupun ia syarikat tersenarai awam dan jika dibandingkan, elaun di PUNB sangat berbeza.

Iklan

Apakah perasaan Tan Sri apabila diberikan kepercayaan untuk memimpin PUNB?

PUNB lebih dekat dengan jiwa saya kerana saya pernah menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC). Saya berhasrat untuk membantu usahawan bumiputera kerana saya melihat bumiputera bukannya malas, mereka rajin tetapi peluang ini (perniagaan) satu perkara baharu buat mereka. Dalam bidang pendidikan, alhamdulillah ramai anak Melayu, miskin, petani dan nelayan yang berjaya ke menara gading. Bagaimanapun dalam bidang keusahawanan, mereka masih belum mencapai matlamat walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah menyediakan pelbagai kemudahan termasuklah PUNB yang ditubuhkan khusus untuk membantu usahawan bumiputera.

Maksudnya Tan Sri lebih suka fokus kepada usahawan dan membantu mereka?

Saya sentiasa menyokong usahawan dan prinsip saya ialah kemiskinan bukan harta pusaka. Saya akan memastikan 50 peratus dana diperuntukkan untuk bidang pendidikan. Keduanya, dalam keusahawanan, kerajaan telah menubuhkan berbagai agensi dan memberikan pinjaman RM50,000 ke bawah seperti Tekun Nasional (Tekun), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan SME Corp. Namun demikian, untuk mewujudkan masyarakat perdagangan bumiputera bukannya mudah dan ia akan mengambil masa. Dalam bidang pendidikan, kita telah mencapai sebanyak 30 peratus bilangan profesional Melayu seperti peguam dan doktor.

Apakah fokus utama PUNB sekarang memandangkan usahawan juga boleh menemui agensi lain seperti Tekun dan AIM untuk meminta bantuan?

PUNB berbeza berbanding agensi lain kerana ia melahirkan usahawan berskala sederhana dalam kalangan industri kecil dan sederhana (IKS) manakala Tekun dan AIM membantu usahawan kecil. PUNB menyediakan pinjaman minimum berjumlah RM100,000 dan maksimum sehingga RM10 juta.

Kita membantu menstransformasikan usahawan, contohnya, daripada berniaga di gerai tepi jalan kita akan memindahkan mereka ke kedai, jika dahulu mempunyai bengkel kecil kita akan membantu mereka membuka kilang.

Saya mempunyai tujuh perkara dalam memastikan perancangan menaik taraf usahawan kecil menjadi usahawan sederhana iaitu Rent to Own, Entreprenuer Transformation Centre, penambahbaikan latihan untuk usahawan, menaik taraf usahawan kecil dan skala lebih besar, penambahbaikan terma-terma pembiayaan, berkerjasama dengan kementerian dan agensi lain yang berkaitan dengan keusahawanan dan melestarikan usahawan muda (Jumper).

PUNB akan bekerjasama dengan Tekun dan AIM untuk membantu usahawan di bawah mereka yang berjaya dan menarik mereka menjadi usahawan PUNB. Jika mereka mempunyai rekod prestasi yang baik, kita akan dapat menaik taraf perniagaan mereka.

Satu lagi kumpulan usahawan yang akan dibantu ialah dengan menubuhkan Kelab Usahawan Modal Sendiri. Saya terkejut kerana segelintir dalam kalangan usahawan masih kurang jelas mengenai peluang-peluang yang ditawarkan oleh kerajaaan dan mereka sukar memperoleh modal yang diperlukan daripada kerajaan.

Dalam kalangan usahawan muda pula saya dapati mereka memulakan perniagaan dengan menggunakan modal sendiri dan berjaya mengembangkan perniagaan mereka. Saya berkeyakinan usahawan seperti ini perlu diberikan bantuan kerana pemikiran mereka memang untuk menjadi usahawan.

Apakah faktor yang menjadikan seseorang usahawan itu berjaya dan gagal berdasarkan pengamanat Tan Sri?

Ada dalam kalangan usahawan tidak boleh membayar pinjaman dan kedai mereka disita. Usahawan juga terbeban dengan sikap pelanggan yang berhutang dengan mereka sekali gus menyebabkan usahawan tidak dapat membayar hutang kepada PUNB. Ada juga usahawan yang menggunakan wang pinjaman untuk dijadikan pusingan modal kerana melihat peluang perniagaan lain dan mereka menggunakannya untuk melabur dalam perniagaan baharu.

Kebanyakan usahawan yang berjaya ialah mereka yang menggunakan modal sendiri dan berkorban untuk menjadi usahawan. Mereka bermula dari bawah dan membuat perniagaan dari rumah langkah demi langkah sehingga mereka berjaya mengembangkan perniagaan. PUNB juga akan mempromosikan usahawan dan profesional Melayu supaya masyarakat melihat jenama bumiputera contohnya klinik dan farmasi. Misalnya, saya mahu beberapa orang doktor menggunakan satu jenama klinik sahaja dan setiap doktor mempunyai klinik masing-masing.

Noh

PUNB akan menyambut ulang tahun ke-30 pada tahun hadapan namun ramai usahawan masih belum tahu kisah kejayaan PUNB. Apa respons Tan Sri?

Saya sendiri pun sebelum ini kurang mengetahui tentang PUNB sebelum menjadi menteri. PUNB akan buat promosi. Saya akan cuba mewujudkan TV PUNB yang uar-uarkan usahawan berjaya dalam perniagaan. Saya juga akan cuba promosikan PUNB supaya lebih dikenali dalam kalangan bumiputera.

Sepanjang penubuhan PUNB, berapa banyak dana diluluskan?

Kita telah belanja sebanyak RM3.92 bilion dan berjaya melahirkan kira-kira 12,000 usahawan termasuk 1,850 usahawan muda. Daripada situ, 63.6 peratus ialah syarikat yang berjaya tetapi ada juga yang gagal. Bayaran semula pinjaman agak tinggi iaitu lebih 30 peratus.

Sebab itu pendekatan PUNB kali ini adalah bagaimana kita nak wujudkan situasi menang-menang. Kalau dia pinjam dan tak bayar, pusingan modal kita akan bermasalah. Ini kerana kita menerima dana daripada kerajaan sebanyak RM250 juta sahaja setahun tetapi kita memberi pinjaman lebih daripada jumlah tersebut.

Apakah strategi bagi memantapkan lagi PUNB selepas ini?

Kita akan lihat kepada kluster-kluster tertentu di mana bumiputera tidak ramai teroka. Itu kita akan tekankan lebih. Restoran contohnya, ada yang kita berikan pinjaman tetapi bilangannya telah banyak. Penekanan kita pada hari ini adalah lebih menjurus kepada perniagaan dalam talian. Kita juga ingin menubuhkan jabatan baharu bagi mengurus dan melatih anak-anak muda terutama bagaimana untuk mengendalikan perniagaan dalam talian dan digital.

Ini kerana selepas bertemu dengan beberapa usahawan stokis baru-baru ini, walaupun Covid-19 melanda, mereka mampu memperoleh pendapatan sekitar RM4,000 hingga RM6,000 sebulan. Malah mereka menyatakan mampu mendapat pulangan lebih banyak berbanding sebelum Covid-19 melanda.

Tan Sri hampir 25 tahun bergiat dalam politik, apakah perbezaan dalam tempoh 25 tahun ini?

Jauh berbeza kerana pada 1995 ketika menjadi ahli Parlimen, peruntukan untuk wakil rakyat hanya RM300,000. Saya dapat peruntukan itu dan perlu menjaga tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Panjang, Sekinchan dan Sungai Burung. Sekarang, peruntukannya jauh lebih banyak.

Kedua, dari segi keadaan dalam Parlimen, Barisan Nasional (BN) pernah memperoleh majoriti dua pertiga tetapi sekarang sudah berbeza. Kalau nak lihat timbangannya dahulu berat sebelah tetapi sekarang hampir sama. Begitu juga dari sudut ahli Parlimen sebelah sana ramai yang senior dan sebelah kita juga sama.

Caranya sekarang berbeza. Tambahan pula dahulu kita menjadi kerajaan dan pembangkang tidak pernah menjadi kerajaan. Sekarang sudah terbalik, kerajaan dahulu pernah menjadi pembangkang dan pembangkang pernah menjadi kerajaan. Soalnya sekarang ialah pembangkang hari ini, mereka pernah menjadi kerajaan. Mereka tahu dan jika menteri mahu memberikan jawapan yang agak berbeza, mereka mengetahuinya.

Benarkah zaman untuk kerajaan mendapat majoriti dua pertiga ini sudah berakhir?

Pada pengiraan saya, insya-ALLAH kita boleh dapat jika kita bertanding dua penjuru, ertinya Muafakat Nasional (MN) lawan dengan PH. Tetapi jika berlaku tiga penjuru seperti pada PRU14, saya rasa ia sukar. Ini kerana pertembungan tiga penjuru bergantung kepada tempat. Kalau di pantai barat dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang ini berlaku pertembungan tiga penjuru, saya rasa PH mungkin ada kelebihan untuk menang.

Ini kerana pengundi di negeri pantai barat ini antara Melayu dengan bukan Melayu boleh dikatakan hampir sama ramai. Tetapi jika kita berjaya menyusun strategi bertanding satu lawan satu, saya yakin kita boleh dapat majoriti dua pertiga ini.

Sebagai Pengerusi UMNO Selangor, sejauh manakah Tan Sri boleh bekerjasama dengan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk kembali mengambil negeri itu daripada PH?

Di Selangor kita bekerjasama dengan MN. Dengan Perikatan Nasional (PN) ini saya perlu menunggu keputusan daripada pucuk pimpinan. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah membuat kenyataan bahawa UMNO tidak bersama PN. Kita perlu lihat di mana ada dua isu iaitu PN merupakan gabungan ahli-ahli Parlimen kerajaan. Jika program-program kerajaan, betul ia di bawah PN tetapi jika program parti, kita hanya menggunakan MN. Ini kerana hanya MN mempunyai memorandum persefahaman antara parti. Sebagai contoh ada program parti seperti ceramah bersama di Selangor, kerjasama saya dengan MN iaitu antara UMNO dengan Pas sahaja. Tetapi jika melibatkan mesyuarat dengan pihak kerajaan, saya perlu datang kerana saya sebahagian daripada kerajaan.

Di Selangor, menerusi MN saya dan Pas tidak ada sebarang masalah. Begitu juga dengan Azmin kita sudah ada perbincangan. Saya juga telah tiga kali bertemu dan berbincang dengan beliau. Jadi kita akan lihat apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan mengenai kerjasama dengan PN. Menurut kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa mereka mahu bersama dengan MN. Saya tidak tahu bagaimana lagi, kita tunggu keputusan pucuk pimpinan.

Noh

Bagaimana perasaan Tan Sri apabila orang yang dahulunya menjadi kawan kini menjadi lawan dan lawan juga telah menjadi kawan pada masa ini?

Sejak dari dahulu lagi pendirian saya dalam politik ini tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal. Berdasarkan pengalaman politik ini, kita jangan serang peribadi seseorang tetapi bagi saya banyak menyentuh kepada dasar di mana saya lawan parti. Kalau saya sebut sahaja ia berkaitan parti sahaja sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan jika dahulu Pas. Saya hanya sebut tentang parti. Bila sebut peribadi, bila nak berkawan kemudian hari orang akan teringat balik apa yang kita kata.

Saya dengan Mohamed Azmin dahulu, saya lawan dia dalam Parlimen, saya sebagai kerajaan BN dan dia sebagai Menteri Besar Selangor. Saya lawan dia sebagai kerajaan Selangor dan bukan menyentuh peribadi.

Dari sudut kecil hari Tan Sri, adakah UMNO boleh kembali berkuasa di Selangor?

Jika MN betul-betul kuat seperti sekarang, saya yakin kita boleh. Sebagai contoh, kita ambil semangat Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih. Perlu diiigatkan bahawa MN ini bermula di Selangor pada PRK Sungai Kandis. Pada masa itu, MN di Selangor ini baru berada di gear satu dan kebetulan berlaku di Seri Setia yang sepatutnya UMNO bertanding tetapi kita berikan kepada Pas. Pada waktu itu pun masih berada di gear dua yang tak berapa laju.

Bila pergi ke Semenyih, ketika itu kita berada di gear empat dan kita menang. Walaupun pada PRU14 yang lepas jumlah undi UMNO campur dengan Pas kita masih kalah dengan PH tetapi bila semangat MN sampai di gear empat, alhamdulillah kita menang. Saya tengok rakyat mula membuat pusingan U. Pada PRK Slim, saya lihat satu-satu pusat daerah mengundi (PDM), semua saluran kita menang. Ada satu PDM yang dahulu kita menang hanya 500 undi tetapi kita menang lebih 1,000 undi. Ada satu PDM pada pilihan raya lepas kita kalah 1,500 undi tetapi kita telah menang dengan 500 undi. Saya lihat wujud gandaan rakyat membuat pusingan U.

Adakah Tan Sri merasakan perubahan hati rakyat ini akan kekal sehingga PRU akan datang?

Kita andaikan begitu. Sebab itu jangan tunggu lama-lama untuk laksanakan pilihan raya ini. Sekarang melihat kepada graf sokongan rakyat kepada Muhyiddin meningkat dengan 62 peratus Melayu menyokong kepimpinan beliau. Pada saya ini masa sesuai untuk laksanakan pilihan raya. Buat segera, jangan tunggu graf jatuh baharu nak buat.

Noh ketika ditemubual Sinar Harian di ibu pejabat PUNB di Kuala Lumpur.

PROFIL

Tan Sri Noh Omar

Jawatan sekarang: Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)

Umur: 62 tahun

Asal: Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor

Pendidikan: Universiti Thames, London

Profesion: Ahli politik dan peguam

Politik:

-Ahli Parlimen Tanjung Karang

-Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor

Pengalaman:

- Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2016-2018)

- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2008-2013)