Sekali bah, sekali tebing berubah

Iklan

PERUMPAMAAN di atas sudah jarang kedengaran, tetapi maksudnya jelas sekali. Perubahan terus berlaku dalam kehidupan kita, baik kerana gara-gara alam ataupun akibat kegiatan manusia, baik dirancang atau spontan. Di Malaysia sendiri sudah banyak berlaku bah yang menjejaskan tebing kecil dan besar.

Sejak 1957 hingga sekarang kita sudah mempunyai 16 orang YDP Agong, bermula dengan Tuanku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hingga kini, Sultan Pahang Sultan Abdullah. Daripada Tunku Abdul Rahman hingga ke Tun Dr Mahathir kali kedua sebagai Perdana Menteri. Bukan saja tebing-tebing kecil berubah kerana landaan bah kecil, sering pula berlaku robohan besar dek bah besar.

Iklan
Iklan

Untuk itu kita terjemahkan perumpamaan itu kepada keadaan sebenar yang mengubah fabrik sosial kita. Tentunya yang datang ke fikiran kita ialah Peristiwa 13 Mei 1969 yang mengakibatkan Perlembagaan negara digantung dan Malaysia diletakkan di bawah pemerintahan darurat pimpinan Allahyarham Tun Razak untuk sekian lama, sehingga ketenteraman menjadi stabil, pilihan raya diadakan dan Parlimen dihidupkan semula. Ramalan demokrasi akan mati di Malaysia terbukti meleset apabila pilihan raya 1974 diadakan sebaik-baiknya.

Kuala Lumpur Lantas membangun cepat. Batu Road menjadi Jalan Tuanku Abdul Rahman selaku jantung ibu kota. Jika sebelumnya di belakang Batu Road lama, baik di arah Jalan Masjid India atau Jalan Raja Laut, terdapat sarang pelacuran yang dipanggil Belakang Mati, selepas 13 Mei 1969, kerajaan membersihkan kekotoran itu sehingga Belakang Mati tidak mati lagi, malah hidup segar.

Iklan

Kompleks beli-belah dan tempat tinggal yang teratur mengambil tempat gelandangn sebelumnya. Itulah ‘bah’ yang membuat ibu kota berubah. Kini degup jantungnya sudah berpindah daripada Jalan Tuanku Abdul Rahman kepada Jalan Bukit Bintang - diimbangi KLCC dengan menara kembar tertinggi dunia untuk abad ke-20.

Di sini elok disebutkan bahawa saya tidak begitu mengetahui tentang Sarawak dan Sabah walaupun saya banyak kali berkunjung ke sana. Kata-kata gurindam ‘sungai Sarawak sungainya sempit’ (tidak sempit, sebenarnya) dan ‘bumi di bawah angin’ (untuk Sabah) selalu bermain di telinga. Jika dulu diambil gambar Semenanjung dari satelit di angkasa lepas, nescaya Titiwangsa nampak berbonjol utara-selatan. Tepiannya pula ternampak sungai-sungai seperti calar-calar ular kena palu.

Iklan

Sehingga menjelang 1980-an masih terdapat sungai-sungai itu yang berferi, mengangkut orang, kenderaan dan barang-barang. Feri besar dua tingkat di Pulau Pinang menghubungi pulau itu dengan tanah besar. Di Muar Johor, sinonim feri ialah penambang, justeru terdapat grup muzik Ghazal Seri Penambang yang popular di seluruh negara.

Dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur harus melalui feri Temerloh yang luas. Bagaikan tidak cukup lengahnya, dua jam kemudian terdapat sebuah lagi feri di Kuantan. Panorama feri yang paling hebat ialah dari Kemaman ke Kuala Terengganu dalam jarak 150km. Jarak 80km antara Kemaman dan Dungun menampung lima feri di Kemaman,Telok Kuang, Kerteh, Paka dan Dungun. Kini tanpa feri, Kerteh dan Paka berupa koridor gadang Petronas dengan hasil minyak dan gasnya yang menguntungkan.

Jika Malaysia mahu berpolitik seperti di AS dan UK, tidak ada contoh yang lebih baik daripada Terengganu. Sejak 1959 Terengganu tidak henti-henti menyalinkan Umno dan Pas sebagai kerajaan sama seperti parti Demokrat dan Republikan ganti mengganti memerintah AS, dan parti Konservatif dan Buruh di UK. Itulah sebenarnya sistem dua parti yang boleh dipelajari. Perubahan kerajaan tidak menjejaskan emosi rakyat . Silaturahim terus wujud. Ibarat bah membuat tebing berubah, namun sungai terus mengalir.

Di sut utara Amerika Selatan, bumi ratu cantik, Venezuela, sedang digugat teruk oleh bah AS, mungkin menjadi Iraq nombor dua abad ke-21 ini. Dosa Venezuela ialah menjadi kawan baik Cuba dan Castro, musuh Presiden Trump. Untuk itu, Rusia, Turkey dan China (RTC) bersatu hati berpihak kepada Venezuela. Untuk itu, dunia tiada pilihan melainkan melihat seteruk mana tebing terjejas akibat landaan bah AS nanti, sedangkan RTC serangkai itu tidak berdiam diri.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet