Tindakan terhadap jenayah korporat

Iklan

BUKANLAH mudah melakukan kebaikan dan membuat sesuatu yang betul. Sesuci mana pun niat kita namun kita tetap akan menderita rasa serba salah dan seterusnya tekanan jiwa.

Sebab itulah pada zaman dulu kita banyak bercakap berkenaan hati kecil dan sentiasa diingatkan agar menggunakan hati kecil apabila melakukan sesuatu, khususnya yang membabitkan orang lain.

Iklan
Iklan

Sekarang istilah dan amalan menggunakan hati kecil ini jarang disebutkan walaupun dalam kalangan penutur bahasa Inggeris ia masih agak kerap diperkatakan. Dalam bahasa itu disebut"conscience”.

Dahulu ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat sering mengingatkan orang di bawah jagaan mereka agar jangan ikut nafsu sebaliknya tanya atau dengar apa kata hati kecil kita.

Iklan

Berbalik kepada dilema melakukan kebaikan dan membuat sesuatu yang betul, kita ambil contoh usaha kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) memerangi rasuah dan mendaulatkan undang-undang.

Kita tahu yang kita tidak boleh memerangi rasuah sekiranya kita tidak menggunakan undang-undang dengan tegas dan saksama ke atas sesiapa saja yang melakukan perbuatan itu.

Iklan

Masalahnya, tidak dapat tidak orang yang diambil tindakan itu mungkin orang yang kita kenal atau boleh jadi juga ahli keluarga dan sahabat baik kita.

Secara peribadi hal ini amat ketara bagi saya. Sebagai seorang yang agak lama bergiat dalam bidang kewartawanan – 49 tahun - saya kenal banyak orang.

Ada yang saya kenal secara peribadi dan ada yang saya kenal daripada cerita mengenai mereka. Malahan ada yang kerjayanya saya bantu melalui berita, ulasan dan analisis yang saya tulis.

Dalam usaha kita menjadikan Malaysia Baru sebuah persekitaran yang lebih baik dan bertamadun tinggi, kita kena faham dilema orang baik yang cuba melakukan kebaikan.

Walaupun mereka diberi mandat oleh rakyat jelata dan diperkuatkan oleh undang-undang, mereka tetap akan mengalami rasa serba salah apabila mengambil tindakan ke atas orang yang melakukan kesalahan apatah lagi orang yang mereka kenali.

Boleh dikatakan semua orang yang telah dikenakan tindakan mahkamah atau sedang disiasat bersabit jenayah, khususnya rasuah, adalah orang yang kita kenali, sahabat kita atau saudara mara kita.

Kita kena berpegang kepada prinsip bahawa undang-undang tidak memilih warna atau dalam bahasa Inggeris"the law is blind”.

Undang-undang tidak pilih bulu dan tidak pilih kasih. Undang-undang bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi mesti dilihat dilaksanakan.

Sebab itulah orang bertanya mengapa ada tahanan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dikenakan tahanan reman dan dipakaikan kemeja T warna oren dan ada yang tidak.

Kalau seorang lelaki yang mencuri RM50 dari tabung masjid boleh dipenjarakan sembilan bulan dan ibu yang mencuri Milo untuk anaknya didenda RM200 serta dipenjarakan sehari, undang-undang tentulah akan ditertawakan jika orang yang mencuri berbilion ringgit lepas bebas.

Dalam usaha kita memberi makna kepada Malaysia Baru dan mengubati wabak rasuah yang sudah amat teruk, kita terpaksa mengawal emosi dan tidak memilih kasih.

Lagipun, ketika mereka melakukan perbuatan rasuah dan mengaut harta haram berbilion ringgit, adakah mereka meminta izin kita atau pandangan kita?

Tentunya tidak. Sebaliknya ada antara mereka yang menyeret kita ke dalam kegiatan haram mereka kononnya hendak berkongsi rezeki.

Mereka membahagi-bahagikan sebahagian kecil hasil rasuah mereka dalam pelbagai bentuk derma dan kegiatan kemasyarakatan termasuk menghantar orang untuk menunaikan haji dan membiayai sekolah agama.

Malangnya masyarakat kita, khususnya masyarakat Islam, sudah begitu ghairah dengan wang dan kesenangan sehingga tidak lagi bertanya atau menyiasat dari mana datangnya duit derma dan sedekah itu.

Ini kita baru saja bertindak ke atas watak-watak yang terbabit dengan skandal 1MDB dan projek-projek raksasa awam. Kita belum lagi bertindak secara sepadu terhadap mereka yang melakukan kesalahan kewangan dan pasaran modal seperti"insider trading”, melarikan cukai dan pelanggaran urus tadbir korporat.

Dalam undang-undang korporat dan pasaran modal,"insider trading” iaitu kegiatan menjual-beli saham oleh ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan dengan menggunakan maklumat dalaman adalah kesalahan besar.

Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta untuk kesalahan"insider trading”.

Masa melakukan kesalahan mereka tidak memikirkan balasan. Mereka begitu yakin dan tamak sehingga sewenang-wenangnya melibatkan anak, isteri, adik dan abang dalam kegiatan jenayah mereka.

Ironinya apabila terjebak dan berdepan dengan hukuman berat, mulalah mereka menyusahkan orang lain dengan merayu dan merintih agar tidak dikenakan tindakan.

Perbuatan seperti ini amat tidak berpatutan dan jangan sekali-kali dilayan tidak kira jenayah yang mereka lakukan itu ketika pemerintahan PH atau di bawah kerajaan lama.

Rakyat jelata akan kutuk kerajaan PH jika ia melindungi penjenayah-penjenayah korporat ini.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara