Propaganda Art Harun?

Iklan

"DENGAN penuh hormat saya ingin bertanya – adakah SPR, sebelum zaman saya, pernah lakukan apa yang (saya) lakukan sekarang? Tolong jawab dengan jujur.” Itu twit Art Harun di laman Twitter beliau beberapa hari lalu.

Ramai yang membalas twit Art Harun ini dengan mengatakan ‘tidak’. Rata-rata memuji Art Harun kerana membawa perubahan yang baik kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Namun, adakah Art Harun benar-benar membawa perubahan kepada SPR? Benarkan SPR begitu teruk dan kotor sebelum ini sehinggakan rakyat begitu teruja dengan perubahan yang cuba dibawakan oleh Art Harun?

Iklan
Iklan

Sejak Art Harun atau nama sebenar beliau, Azhar Azizan Harun dilantik sebagai Pengerusi SPR sekitar September 2018 yang lalu, beberapa perubahan telah dilakukan oleh Art Harun. Tidak dinafikan, banyak perubahan yang cuba dibawa oleh Art Harun memang jelas kelihatan.

Pada awal pelantikan, Art Harun sudah mempunyai agenda tersendiri untuk mereformasi SPR. Malah, beliau telah membahagikan pelan reformasi SPR kepada empat kategori.

Iklan

Kategori pertama, reformasi mudah. Reformasi ini pada asasnya tidak memerlukan perubahan atau pindaan kepada mana-mana undang-undang atau peraturan SPR. Sejak memegang jawatan Pengerusi, Art Harun dilihat melakukan sesuatu yang jarang dilakukan oleh pengerusi-pergerusi SPR sebelum ini seperti mengumumkan keputusan pilihan raya dengan lebih pantas melalui media internet.

PRK Cameron Highlands bakal menjadi medan pertama kepada reformasi ini. SPR pada 16 Januari yang lalu telah mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan lintas langsung hari undi awal (22 Januari), semakan isi peti undi (25 Januari) dan hari mengundi serta proses pengiraan undi (26 Januari) melalui akaun rasmi Facebook SPR.

Iklan

Ini adalah pertama kali dalam sejarah pilihan raya di negara ini apabila hari mengundi diliputi secara langsung oleh SPR sendiri melalui media sosial.

Art Harun juga turut bersetuju dengan pendapat awam bahawa Malaysia wajar memperkenalkan budaya debat untuk calon Perdana Menteri (atau mungkin juga wakil rakyat). Tetapi, adakah SPR bersedia untuk menjadi pengatur cara kepada program sebegini atau mungkin dengan kerjasama pihak media?

Ketegori kedua, reformasi yang memerlukan pindaan peraturan SPR. Umumnya, sebagai Pengerusi SPR, Art Harun berkuasa untuk meminda atau mengubah peraturan-peraturan di bawah bidang kuasa SPR tanpa perlu melalui Parlimen. Contohnya, Art Harun boleh meminda peraturan berkaitan hari penamaan calon dan keperluan pas masuk.

Kategori ketiga, reformasi yang memerlukan pindaan undang-undang. Reformasi ini tidak mustahil untuk dilakukan cuma ia perlu melalui proses Parlimen. Reformasi ini kurang sukar untuk dilakukan kerana hanya majoriti mudah yang diperlukan untuk pindaan diluluskan di Parlimen. Namun, reformasi ini akan tetap memakan masa kerana proses menggubal atau meminda undang-undang sedia ada bukan kerja mudah.

Ketika ini, SPR tidak mempunyai sumber kuasa untuk membuka ruang kepada orang awam untuk membuat laporan atau aduan mengenai salah laku pilihan raya. Mungkinkah ini bakal menjadi salah satu agenda reformasi yang didambakan oleh Art Harun?

Selain itu, Art Harun sering menegaskan melalui twit beliau bahawa SPR tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mendakwa sebarang salah laku pilihan raya. Jadi, adakah Art Harun berperancangan untuk menuntut agar kuasa tersebut diberikan kepada SPR berbanding sekarang proses penyiasatan dilakukan oleh pihak polis atau SPRM. Ini akan lebih memudahkan kerja SPR untuk mengawal salah laku ketika pilihan raya.

Dan kategori yang keempat, reformasi melibatkan pindaan Perlembagaan. Ini adalah cabaran terbesar kepada Art Harun kerana pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan bakal memakan masa lebih lama. Memandangkan PH tidak mempunyai majoriti 2/3 di Parlimen, sokongan Umno adalah diperlukan.

Persoalan utama kepada pelan reformasi Art Harun ini adalah, adakah pelan beliau ini hanya sekadar ‘propaganda’ politik? Pelantikan beliau sebagai Pengerusi SPR sendiri sudah tidak melambangkan pelan reformasi SPR seperti yang dijanjikan oleh PH dalam manifesto mereka apabila pelantikan Art Harun tidak dibuat melalui proses Parlimen. Namun, untuk berlaku adil kepada Art Harun, mekanisme pelantikan melalui Parlimen tersebut masih belum wujud atau dilaksanakan oleh kerajaan. Oleh itu, tidak wajar beliau dipersalahkan.

Walaupun begitu, Art Harun sendiri dalam twit beberapa hari lalu mengatakan bahawa beliau mahukan 30 juta rakyat Malaysia menilai sendiri prestasi kerja beliau dan jika majoriti tidak gemar dengan prestasi kerja beliau, beliau mencadangkan agar rakyat Malaysia mendesak ahli-ahli Parlimen untuk mengadakan ‘undi tidak percaya’ kepada beliau sebagai Pengerusi SPR. Beliau sendiri berjanji akan meletakkan jawatan secara sukarela dan tanpa sebarang syarat jika ada cadangan undian tersebut.

Apa yang pasti, kita perlu memberi ruang kepada Art Harun untuk membawa reformasi kepada SPR seperti yang dirancangkan. Ini bukan kerja mudah. Kita berikan faedah kesangsian (benefit of the doubt) kepada Art Harun bahawa beliau adalah Pengerusi SPR yang bebas daripada segala pengaruh politik dan tidak akan sesekali membiarkan sebarang campur tangan ghaib dalam SPR.

* Penulis ialah pengamal undang-undang dan pemerhati senario politik Negaraku