Pemuda UMNO minta pimpinan tertinggi perhalusi suara akar umbi

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Pemuda UMNO meminta kepimpinan tertinggi parti itu memperhalusi dan mempertimbangkan suara akar umbi sebelum memuktamadkan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Muafakat Nasional (MN).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, daripada maklum balas ahli-ahli akar umbi, sekurang-kurangnya ada lima faktor utama yang memperlihatkan fenomena kemarahan dan keresahan akar umbi.

Iklan
Iklan

"Bersatu hari ini ditanggapi oleh ramai pihak sebagai parti yang sebahagian besarnya didukungi oleh pemimpin-pemimpin yang dirasakan sebagai mereka yang mengkhianati perjuangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Akar umbi UMNO kurang setuju Bersatu sertai Muafakat Nasional

Iklan

"Seramai 15 Ahli Parlimen Bersatu merupakan Ahli Parlimen UMNO yang melompat sedangkan mereka menang atas penat lelah jentera parti di akar umbi. Ini bukan pandangan saya tetapi rumusan daripada akar umbi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, maklum balas lain yang diterima daripada akar umbi juga ialah mereka berpendapat bahawa penubuhan Bersatu sebelum PRU14 sebagai serpihan UMNO menjadi punca perpecahan orang Melayu sehingga runtuhnya kerajaan BN buat pertama kali dalam sejarah.

Iklan

"Ketiga, kenyataan-kenyataan berupa penghinaan terhadap UMNO oleh kepimpinan tertinggi Bersatu sendiri begitu dalam kesannya yang amat menggores perasaan ahli akar umbi.

"Keempat, kedudukan Bersatu yang dilihat berpecah kepada beberapa kumpulan mencetuskan persepsi ramai bahawa parti Bersatu hanya mahu menyelamatkan kepimpinan tertentu berbanding agenda penyatuan ummah dan perjuangan membela rakyat," katanya.

Jelasnya lagi, berbanding dengan pembentukan kerjasama dengan Pas yang melalui proses yang panjang termasuklah lebih 700 siri ceramah penyatuan ummah di peringkat akar umbi sehinggalah dibawa ke peringkat Perhimpunan Agung UMNO untuk dibahaskan dan dipersetujui bersama.

"Penyertaan Bersatu ini dilihat ahli akar umbi semacam suatu yang terdesak dan terburu-buru.

"Justeru, pandangan-pandangan ini perlu diperhalusi dan didengari oleh kepimpinan parti sebelum membuat keputusan menerima Bersatu ke dalam MN. Saya khuatir penyertaan Bersatu tanpa sokongan penuh ahli-ahli akar umbi akan meruntuhkan matlamat asal yang telah terbina dan terukir hasil satu muafakat yang utuh," katanya.