Vaksin mungkin tidak berkesan kepada pesakit Covid-19

Iklan
Dr Nurul Azmawati Mohamed

SHAH ALAM - Mutasi varian D614G hasil ujian pengasingan dan kultur terhadap tiga kes daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga dan satu kes daripada Kluster Ulu Tiram seperti diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mungkin menyebabkan vaksin yang dihasilkan tidak memberi kesan kepada pesakit koronavirus (Covid-19).

Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, mutasi tersebut menyebabkan sedikit perubahan pada struktur virus Covid-19 di bahagian spike iaitu struktur yang menjadi sasaran kepada kebanyakan vaksin yang sedang dibangunkan.

Iklan
Iklan

"Ada kemungkinan vaksin yang dihasilkan tidak atau kurang berkesan terhadap varian itu. Namun begitu, banyak pihak membangunkan vaksin tersebut dengan sasaran di bahagian lain yang memberi kesan kepada virus berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Ditanya adakah mutasi tersebut sangat berbahaya kepada mereka yang dijangkiti atau ia akan lebih mudah tersebar, beliau berkata, pesakit yang dijangkiti virus varian D614G mempunyai jumlah virus yang tinggi (high viral load)."Kajian makmal mendapati virus itu 10 kali ganda lebih mudah menjangkiti orang lain berbanding virus yang mula-mula dijumpai di Wuhan, China.

Iklan

"Walaupun ia lebih mudah merebak, virus tersebut tidak menyebabkan gejala yang lebih teruk. Setakat ini, tiada impak signifikan dari segi perawatan pesakit dilaporkan,” katanya.

Beliau turut menasihati rakyat Malaysia supaya terus mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap membersihkan tangan, mengamalkan penjarakkan fizikal dan memaki pelitup muka.

Iklan

Sementara itu, pakar virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar memaklumkan, mutasi D614G dijangkakan tidak memberi impak kepada pembangunan vaksin.

"Sejauh mana bahaya virus mutasi berkenaan, tidak ada bukti kukuh menunjukkan ia lebih memudaratkan kepada pesakit,” katanya ringkas kepada Sinar Harian menerusi aplikasi WhatsApp.