Etnik Uyghur perlu suara kita

Iklan

"SAYA berfikir lebih baik mati berbanding didera dan diseksa. Saya merayu agar mereka bunuh saya" demikian Mihrigul Tursun, 29, seorang Uyghur Muslim, berkata kepada National Press Club di Washington.

Tursun menyatakan, tahanan kali kedua pada 2017 dia disoal siasat sebanyak empat kali berterusan tanpa tidur, dibogelkan, dicukur, dikenakan aliran elektrik, dan pemeriksaan kesihatan yang menyeksakan.

Iklan
Iklan

Kini terdapat 1.5 juta etnik Uyghur ditahan di kem tahanan atas nama pendidikan semula ( re-education program ), padahal ia adalah kem tahanan penyeksaan yang sangat berat di China.

Tidak ramai yang tahu kesengsaraan sebenar dilalui etnik Uyghur yang berasal dari negara Turkistan Timur yang pernah berdaulat. Kini wilayah itu berubah nama menjadi Xinjiang, di bawah pemerintah kerajaan China berideologi komunis. Seperti warga Palestin kehilangan bumi Palestin menjadi Israel pada 1948, warga Rohingya kehilangan bumi Arakan menjadi Rakhine juga pada 1948, etnik Uyghur kehilangan bumi Turkistan Timur menjadi Xinjiang pada 1949, kaum Muslimin telah menjadi mangsa penindasan yang terburuk dalam sejarah dunia moden.

Iklan

Lebih 6 juta warga Palestin dan hampir 2 juta Rohingya menjadi pelarian. Seramai 600,000 warga Kashmir dibunuh dalam genosid oleh tentera India pada 1947. Sejumlah hampir 2 juta kaum Uyghur dipenjara dan diseksa di China. Inilah realiti yang memedihkan bila berbicara mengenai nasib kaum Muslimin.

Kisah etnik Uyghur hampir terlepas dari perhatian dunia. Hanya dalam beberapa minggu ini berita penderitaan mereka dibangkitkan di media. Padahal penderitaan mereka berpanjangan sejak 1949, bila wilayah mereka Turkistan Timur diceroboh oleh tentera China dan populasi mereka mulai berkurangan kepada 11 juta dari lebih 20 juta di wilayah tersebut akibat polisi yang dikenakan ke atas mereka.

Iklan

Laporan penindasan ke atas mereka sangat mengejutkan. Dilarang memakai hijab, diharam dari berpuasa Ramadan, menahan golongan muda bertahun-tahun tanpa sebab, memantau hidup mereka dengan ketat, memisahkan anak daripada keluarga, diseksa dalam tahanan sehingga mati dan melarang mayat dituntut oleh waris, dilarang masuk masjid, dinafi pendidikan agama di dalam dan di luar negara China, dilarang guna nama Islam dan dipaksa murtad termasuk dipaksa minum arak dan makan daging babi.

Dasar pemerintah China terkini lebih ganas bila polisi anti-halal dilancarkan di negara tersebut. Tujuannya untuk memaksa orang Islam Uyghur dan Muslimin di China tidak mengamal budaya makan makanan halal. Lebih parah polisi Sinizisasi Islam iaitu merubah Islam untuk disesuaikan dengan dasar kerajaan China sedang dilaksanakan termasuk menghapuskan al-Quran.

Semua penindasan ke atas etnik Uyghur ini telah dikategorikan sebagai penghapusan etnik dan genosid. Namun dunia Islam tidak mampu melakukan apa-apa. Malah PBB pun tidak mampu melakukan tindakan ke atas China kerana negara itu memegang kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB.

Kebergantungan kepada perdagangan dengan China oleh kebanyakan negara-negara OIC juga menyebabkan berlaku polisi tidak mahu menyentuh dan membangkitkan isu penindasan ke atas etnik Uyghur. Sangat malang bila pemimpin Uyghur, IIshat Hasan, melaporkan tidak ada negara Islam yang bersuara mengenai nasib mereka.

Kaum etnik Uyghur jelas memerlukan suara umat Islam. Sikap membisu dan menjaga hubungan baik dengan China sepatutnya tidak menjadi sikap pemimpin Islam di dunia. Mereka perlu berprinsip dalam menegaskan pendirian bahawa penindasan ke atas umat Islam di China dari etnik apa pun mesti dihentikan.

Sehingga ini, kaum Uyghur Muslim terpaksa bergantung harap kepada sokongan dari negara dan pemimpin bukan Islam dari pelbagai NGO hak asasi dari negara barat. Kongres Uyghur Sedunia terpaksa berpusat di German dan di Amerika Syarikat. Mereka mengharapkan simpati dan sokongan dari barat untuk membela nasib kaum Uyghur.

Mereka menuntut dengan terdesak agar etnik Uyghur dalam tahanan diselamat, dan dibebaskan serta-merta. Mereka juga menuntut kerajaan China supaya patuh kepada perlembagaan negara yang menyatakan dalam artikel 36 mengenai hak kebebasan beragama, membuka semua masjid untuk memboleh warga Msulim bersolat di dalamnya, dan menghapuskan semua polisi yang menindas warga beragama.

Sementara itu mereka menuntut dibubarkan semua balai polis yang diwujudkan untuk memantau etnik Uyghur dan kaum minoriti yang lain serta membenarkan kebebasan bergerak di luar dan di dalam China.

Aktivis Uyghur juga sangat mengharapkan Malaysia dan negara Islam yang lain membangkitkan isu mereka dengan berprinsip dan tegas. OIC sepatutnya mengambil inisiatif untuk mengembleng ahlinya bertindak secara konsisten dan secara zahir. Suatu sidang khas tergempar perlu digerakkan oleh negara-negara Islam mengenai isu Uyghur.

* Penulis ialah Presiden majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu