Naik taraf kemudahan mesra OKU

Iklan
Nie Ching (tengah) melihat pelan SJKC Ladang Grisek yang sedang menjalani proses pembinaan.
PASIR GUDANG - Kementerian Pendidikan berhasrat mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih mesra Orang Kurang Upaya (OKU) menjelang tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, usaha itu juga turut melibatkan kerja naik taraf kemudahan di semua sekolah milik kerajaan sedia ada di seluruh negara.

"Setakat ini, kita hanya mempunyai kurang daripada 1,000 sekolah lengkap dengan kemudahan mesra OKU yang mana terlalu kecil daripada jumlah kira-kira 10,000 sekolah yang ada di negara ini.

"Usaha ini (naik taraf sekolah) kita sudah mulakan, yang mana kerajaan juga akan memperuntukkan kos kira-kira RM200,000 bagi setiap sekolah mendapat naik taraf,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir membuat lawatan tapak pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Grisek, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Pembangunan Wanita, Liow Cai Tung; Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong dan Pengerusi Eco World Development Group Berhad, Tan Sri Liew Kee Sin.

Nie Ching berkata, usaha menaik taraf kemudahan mesra OKU itu juga adalah sebagai garis panduan bagi membolehkan polisi sifar penolakan diperkenal di semua sekolah tahun hadapan.

"Untuk polisi sifar penolakan ini, ibu bapa yang mempunyai anak istimewa boleh menghantar anak mereka di mana-mana sekolah aliran perdana tanpa risau. Ini kerana setiap sekolah akan dilengkapi dengan kemudahan lengkap.

"Bagi cara pembelajaran pula, murid OKU ini akan menjalani ujian saringan selama tiga bulan dan sekiranya layak mereka boleh belajar dalam sekolah di aliran perdana,” katanya.

Jelasnya, sekiranya tidak berjaya, para pelajar itu masih boleh menimba ilmu di sekolah tetapi kembali di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Sekolah Pendidikan Khas.