Ke arah bandar sukan dan rendah karbon

Iklan
Sebahagian kanak-kanak yang menyertai Ipoh Car Free Day.
IPOH - Penganjuran Ipoh Car Free Day diadakan bagi mencapai objektif ke arah sebuah bandar sukan dan bandar rendah karbon malah juga meningkatkan indeks kebahagian dikalangan warga kota negeri ini.

Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mohd Zakuan Zakaria berkata, program yang disertai 8,000 orang ini turut memupuk kesedaran dikalangan orang ramai mengenai kepentingan alam sekitar, kesihatan, keselamatan, sejarah dan warisan Ipoh.

"Semua ini merupakan agenda perbandaran baharu bagi mempercepatkan pencapaian Sustainable Development Goals kita demi kesejahteraan bersama," katanya selepas program yang berlangsung di Jalan Raja Dihilir, hari ini.

Mohd Zakuan berkata, sempena Ipoh Car Free Day, MBI turut meraikan tema utama hari tanpa kenderaan iaitu Majlis Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia Tahun 2018 Peringkat Negeri Perak.

"Selain itu, kita juga turut meraikan Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia, Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia, Sambutan Hari Lelaki Sedunia, Sambutan Hari Tandas Sedunia dan Sambutan Hari Diabetes Sedunia.

"Program ini bukan sahaja berjaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat malah juga pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti kayuhan basikal imbang untuk kanak-kanak, senamrobik, forum dan pertandingan menjahit," katanya.