Terengganu hapus cukai pintu

Iklan
Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membentangkan belanjawan kerajaan negeri bagi tahun 2019 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri mengumumkan pengecualian cukai taksiran dan menghapus kira cukai tertunggak untuk semua premis kediaman berkuatkuasa 1 Januari nanti.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, khabar gembira bagi mengurangkan beban rakyat itu membabitkan jumlah sebanyak RM14.7 juta.

"Langkah ini merupakan sebahagian daripada janji manifesto yang dibuat pada pilihan raya umum lalu," katanya ketika membentangkan Bajet 2019 di persidangan Dun hari ini.

Dalam pembentangan sama, kerajaan negeri turut bersetuju memberi insentif kepada penjawat awam negeri berjumlah RM500 seorang.

Bayaran akan dibuat pada bulan depan membabitkan 12,611 kakitangan awam Terengganu melibatkan peruntukan sebanyak RM6.3 juta.

"Ini sebagai menghargai kerja keras dan kesetiaan penjawat awam dan kerajaan merakamkan penghargaan kepada kakitangan awam yang berdedikasi dan komited sehingga meletakkan Terengganu antara negeri terbaik di Malaysia," katanya.