MARANG - Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan mula beroperasi pada 12 Disember ini disifatkan sangat selesa dan inklusif, namun kemudahan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) wajar ditambah baik bagi menampung permintaan pada masa hadapan.
Bekas jurugambar Utusan Malaysia, Azlan Bahrum, 42, berkata, ketika ini hanya dua tempat duduk khas untuk golongan OKU disediakan bagi keseluruhan enam gerabak tren tersebut.
Menurutnya yang berkerusi roda akibat penyakit gout kronik dan buah pinggang, jumlah tempat duduk tersebut dilihat agak terhad memandangkan perkhidmatan tren itu menawarkan tempoh perjalanan yang singkat sekali gus berpotensi menarik ramai pengguna dalam kalangan OKU.
"Ketika ini saya perhatikan hanya dua tempat duduk untuk OKU disediakan bagi keseluruhan enam gerabak... jadi agak terhad. Mungkin boleh tambah lagi pada masa akan datang, kerana saya fikir ramai golongan OKU yang berminat untuk guna perkhidmatan ini kerana tempoh perjalanan yang singkat.
"Lagipun saya difahamkan ada diskaun tiket 50 peratus untuk golongan OKU seperti juga warga emas dan pelajar. Ini satu inisiatif yang sangat bagus dan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang memerlukan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Perjalanan Percubaan Tren Elektrik Berbilang Unit (EMU) 2026 ECRL dari Stesen Kuala Terengganu di Durian Guling dekat sini ke Stesen Terminal Bersepadu Gombak, pada Jumaat.
Azlan merupakan antara 24 ahli Kelab Media Perdana Terengganu (METRA) yang mengikuti program tersebut bagi merasai sendiri pengalaman perjalanan selama tiga jam dari Kuala Terengganu ke Gombak.
Mengulas lanjut mengenai pengalamannya, bapa kepada tiga anak itu mengakui amat teruja dan berpuas hati secara keseluruhan terhadap fasiliti sedia ada serta layanan mesra yang diberikan oleh petugas ECRL.
"Walaupun dalam serba kepayahan, saya menggagahkan diri bersama rakan-rakan media lain menaiki ECRL bagi meninjau sendiri kemudahan yang disediakan untuk golongan OKU. Dari awal petugas ECRL amat membantu dengan membawa saya ke tempat duduk khas untuk golongan OKU dan sepanjang jalan datang bertanya sekiranya saya perlu minuman atau keperluan lain.
"Tempat duduk juga sangat selesa dan luas, begitu juga akses ke gerabak sangat mudah. Tandas juga mesra untuk pengguna berkerusi roda. Ia membolehkan saya menguruskan diri sendiri tanpa bantuan sesiapa," jelasnya.
Sementara itu, pesara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Rosamiza Omar, 62, turut memuji fasiliti surau yang dilengkapi tempat wuduk di dalam tren berkenaan kerana amat memudahkan warga emas sepertinya.
Katanya, ruang solat yang disediakan berada dalam keadaan bersih, agak luas dan mampu memuatkan dua hingga tiga jemaah pada satu-satu masa.
"Pendek kata semua kemudahan dalam tren ini lengkap dan selesa untuk semua penumpang. Cuma saya harap pada masa depan mungkin boleh disediakan ruang solat asing untuk lelaki dan perempuan," katanya.