Cabaran utama GPS di Sarawak

Iklan

SABTU lalu, secara rasminya Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah dilancarkan sebagai wadah baharu politik tempatan, sekali gus menamatkan terus kerjasama politik dalam Barisan Nasional (BN) yang telah berlangsung selama 45 tahun di Bumi Kenyalang.

Empat parti yang bergabung membentuk GPS iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) telah bergerak ke hadapan untuk terus kekal relevan demi kelangsungan parti-parti tersebut dalam politik tempatan Sarawak.

Iklan
Iklan

GPS pada dasarnya hanyalah penerusan sebuah kerjasama politik yang dahulunya berada dalam sebuah gagasan kebangsaan yang besar, kemudian dikecilkan menerusi penjenamaan semula dalam konteks tempatan.

Walaupun sudah meninggalkan BN, modus operandi GPS dilihat masih mirip BN. Dahulu ketika dalam BN, Umno menjadi ‘abang besar’ kepada semua parti komponen yang lain. Sekarang, PBB pula ‘abang besar’ dalam GPS. Barangkali, template yang sama juga bakal digunakan dalam perkara seperti pembahagian kerusi pilihan raya, jawatan dalam Kabinet negeri dan lain-lain, sama seperti dalam BN dahulu.

Iklan

Mungkin ini bukan persoalan utama buat GPS. Persoalannya ialah mampukan GPS diterima sepenuhnya oleh rakyat tempatan, sekali gus mengekalkan status quo politik Sarawak?

GPS tidak mengambil masa yang lama untuk meninggalkan BN. Malah ia sudah dijangka apabila perubahan sokongan di peringkat Parlimen Sarawak ketika PRU14 lalu tidak memihak BN. Walaupun menang besar ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016, kemenangan itu tidak lagi bermakna setelah BN hilang Putrajaya.

Iklan

Dengan hilangnya naungan kerajaan Pusat, GPS bakal berhadapan dengan cabaran dan gempuran yang lebih hebat di Sarawak, terutamanya dalam menuju PRN ke-12 tahun 2021. Mungkin satu kelebihan yang ada pada GPS ketika ini selain daripada masih kekal sebagai pemerintah, adalah kemampuannya menggembleng sokongan etnik yang pelbagai menerusi komponen GPS.

Dalam masa sama, kegagalan parti-parti lawan, baik parti tempatan mahupun ‘Malaya’ membentuk satu pakatan yang mantap sehingga ke hari ini di Sarawak turut menyumbang kepada kelebihan itu.

Walaupun begitu, sekiranya indikasi PRU14 diguna pakai, kelihatan sokongan etnik kepada parti-parti gabungan GPS menurun secara drastik dan mendadak, terutamanya SUPP. Lihat bagaimana drastiknya undi orang Cina yang besar ketika PRN-11 kepada SUPP, hilang dalam PRU14.

SUPP menang besar mengalahkan DAP pada PRN-11 tetapi ketika PRU14, DAP menyapu bersih kerusi-kerusi Parlimen yang ditandingi SUPP sehingga ia gagal membantu BN Sarawak mengekalkan Putrajaya kepada BN. Begitu juga dengan undi orang Melanau, Iban dan kaum-kaum lain yang selalunya setia mengundi mereka, juga merosot dengan agak signifikan.

Ada beberapa perkara yang GPS perlu segera perbaiki. Pertama, GPS masih terlalu bergantung dengan nostalgia Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan) dalam memposisikannya sebagai pejuang hak Sarawak. Pendekatan populis yang dibawa oleh Tok Nan terdahulu tepat pada waktunya apabila hak-hak Sarawak sebagai rakan dalam Persekutuan Malaysia kuat diperkatakan.

Ketika itu kerajaan pusat masih lagi di bawah BN, maka mudah bagi Tok Nan untuk menekan Putrajaya dengan isu-isu hak Sarawak yang dilanjutkan sehingga dalam kempen-kempen pilihan raya. Namun begitu, GPS pada hari ini berhadapan dengan suasana yang berbeza apabila Putrajaya diambil alih oleh PH yang turut menawarkan perkara sama untuk rakyat Sarawak. Maka sudah tentu mana-mana parti yang mampu menyelesaikan hal ini bakal mendapat sokongan mereka.

Kedua, GPS masih dilihat parti orang tua. Ketika GPS dilancarkan, hampir semua pimpinan utamanya masih terdiri daripada ahli-ahli parti yang lama dan veteran. Langsung tidak kelihatan orang muda dalam barisan kepimpinan GPS, baik dari mana-mana komponen pun.

Perkara ini bukanlah baharu dalam GPS. Ketika bersama BN pun, mereka kelihatan ralat dan liat untuk memberi laluan kepada orang Muda untuk berada dalam barisan kepimpinan parti, apatah lagi menjadi calon pilihan raya. Lihat sahajalah ketika PRN-11 apabila perkara ini menjadi isu dalam BN Sarawak sehinggakan Tok Nan memperkenalkan kaedah ‘calon mesra BN’ sebagai jalan penyelesaian kepada keengganan parti untuk mencalonkan orang muda atau baharu bertanding dalam pilihan raya.

Dan sudah tentu, cabaran terbesar GPS adalah mengikis persepsi rakyat Sarawak terhadap mereka. Walaupun sudah meninggalkan BN, rakyat Sarawak masih melihat mereka sebagai sebahagian daripada rejim BN yang tercemar dengan isu-isu rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Dengan hanya ‘bersalin kulit’ sahaja belum cukup untuk membuatkan rakyat yakin dan percaya dengan GPS. Tambahan pula hampir semua pemimpin GPS adalah mereka yang dianggap sebagai pemimpin utama dalam BN. Sudah tentu kredibiliti mereka ini bakal dipersoalkan rakyat kelak.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM