KPKT arah PBT tingkat pengkuatkuasaan penjualan arak di premis

Iklan
Kementerian melihat wujud keperluan untuk melihat semula penjualan arak di kedai runcit. - Gambar hiasan 123RF

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengeluarkan surat arahan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti premis khas penjualan arak dan meningkatkan penguatkuasaan dalam menangani kesan negatif arak kepada masyarakat setempat.

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, ini kerana kementerian melihat wujud keperluan untuk melihat semula penjualan arak di kedai runcit.

Iklan
Iklan

"Untuk makluman, kementerian menerusi PBT hanya mengeluarkan lesen premis perniagaan di bawah undang-undang kecil selepas permohonan memenuhi syarat ditetapkan oleh kerajaan negeri, pejabat daerah, polis dan kastam. Lesen penjualan arak adalah dikawal oleh Jabatan Kastam di bawah Kementerian Kewangan.

"Ini bukan persoalan berkaitan dengan keagamaan kerana Islam melarang umatnya meminum arak dan saya fikir agama-agama lain juga bersetuju kesan negatif arak kepada peminum dan orang di sekelilingnya," katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Azis Jamman (Warisan - Sepanggar) yang bertanya sama ada kementerian akan melihat semula penjualan arak di kedai-kedai runcit kerana ia mempunyai lebih banyak kesan negatif daripada positif terhadap masyarakat.

Menjawab soalan tambahan daripada Shahrizukirnain Abd Kadir (Pas-Setiu) iaitu adakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan pasukan khas bagi memastikan undang-undang dipatuhi sama seperti dalam isu dadah, Ismail berkata, beliau yakin kerajaan akan menubuhkannya melihatkan kepada kesan mabuk terhadap pemandu dan pelbagai insiden melibatkan orang awam.

Iklan

"Ini kerana sejak 2015 hingga 2020, kes melibatkan individu mabuk meningkat di mana pada 2016 sebanyak 161 kes, 2019 (139 kes) dan 2020 bermula Januari hingga Jun sebanyak 155 kes manakala bagi tempoh itu sebanyak 71 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk.

"Saya yakin kerajaan melihat ini sesuatu yang serius dan berpendapat akan menubuhkan pasukan khas bagi memastikan soal pengambilan arak dan kesan kepada orang sekeliling diberikan perhatian serius," katanya.