Mayat awak-awak ditemui terapung

Iklan
Mayat dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut Langkawi sebelum diserahkan kepada polis dan dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

LANGKAWI - Mayat seorang lelaki dipercayai awak-awak yang terjatuh dalam laut pada Rabu lalu ditemui pada kedudukan 1.7 batu nautika tenggara Pulau Tuba hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, penemuan mayat lelaki berkenaan kira-kira jam 8.10 pagi tadi dimaklumkan oleh Kepten kapal layar, Lili Marleen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengatur gerak sebuah bot APMM ke lokasi selepas menerima maklumat berkaitan penemuan mayat itu.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bot PETIR 81 menemui mayat lelaki yang terapung dalam keadaan lengkap berpakaian baju-T berwarna kelabu dan berseluar jeans pendek.

Iklan

"Berdasarkan pakaian pada mayat dan maklumat diterima sebelum ini, penemuan mayat ini dipercayai boleh dikaitkan dengan kejadian seorang awak-awak bot nelayan jatuh laut di kedudukan 4.1 batu nautika utara Pulau Payar pada Rabu lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut Langkawi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mangsa yang belum dikenal pasti identitinya berusia 20-an dipercayai terjatuh ketika berada dalam bot pukat tunda bersama seorang tekong dan seorang lagi nelayan dalam kejadian 15 Julai lalu.

Difahamkan, mangsa dipercayai baru hari pertama bekerja pada hari dia dilaporkan terjatuh ketika menggantikan nelayan yang bercuti menyebabkan identitinya belum diperoleh.

Zawawi berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kehilangan ahli keluarga daripada orang awam.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Langkawi di talian 04-9662750.