Mohamad nafi dakwaan cek zakat RM100,000 digunakan biayai lawatan ke Mesir

Iklan
Mohamad

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, menafikan dakwaan bahawa wang zakat berjumlah RM100,000 digunakan bagi membiayai lawatan delegasi Kerajaan Pulau Pinang ke Mesir.

Mohamad berkata, peruntukan kewangan bagi lawatan yang diketuai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ketika itu, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, menggunakan Kumpulan Wang Pentadbiran dalam belanjawan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) 2025, bukannya dana kutipan zakat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiada wang agihan zakat kepada golongan asnaf, fakir miskin atau dana wakaf digunakan bagi tujuan tersebut.

“Tiada sebarang permohonan dibuat kepada Zakat MAINPP untuk mendapatkan cek zakat seperti yang didakwa dan MAINPP juga tidak pernah menerima cek berkenaan.

Iklan

“Justeru, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan dinafikan,” katanya ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 pada Khamis.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata demikian ketika menjawab isu yang dibangkitkan Mohd Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) berhubung dakwaan penggunaan cek Zakat MAINPP untuk membiayai lawatan delegasi kerajaan negeri ke Mesir.

Iklan

Sebelum ini, Pas Pulau Pinang membangkitkan dakwaan bahawa wang zakat berjumlah RM100,000 digunakan bagi urusan lawatan ke Mesir dan didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi seorang pegawai ketika delegasi berada di negara berkenaan.

Susulan itu, Pas Pulau Pinang turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata lawatan berkenaan menghasilkan beberapa pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan Islam dan kebajikan pelajar Pulau Pinang di Mesir.

Katanya, antara hasil lawatan itu ialah kerjasama pemindahan kredit atau Mu’adalah antara Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) dan Universiti Al-Azhar.

Selain itu, lawatan tersebut turut menyaksikan penyediaan asrama baharu untuk pelajar Pulau Pinang di Mesir serta perasmian Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PIDL) pertama di Fakulti Syariah, Universiti Al-Azhar.

“Delegasi juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Universiti Al-Azhar serta mengunjungi Kementerian Wakaf Mesir,” katanya.

Menurut beliau, lawatan ke Arab Saudi turut melibatkan pertemuan dengan Presiden Universiti King Abdulaziz dan Presiden Universiti Islam Madinah bagi memperkukuh hubungan serta kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi Islam.

Beliau menegaskan lawatan berkenaan perlu dinilai berdasarkan tujuan, pencapaian dan manfaat jangka panjang yang dibawa kepada pembangunan pendidikan Islam serta kebajikan pelajar Pulau Pinang di Mesir.

Mohamad berkata, pada Mac lalu beliau bersama MAINPP dan Zakat MAINPP telah memulakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebarkan fitnah berkaitan pengurusan institusi berkenaan.

Bagi fasa pertama tindakan itu, empat individu diberikan surat tuntutan iaitu aktivis Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, ADUN Penaga, Mohd Yusni Mat Piah, dan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hafiz Alias.

Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, langkah tersebut diambil bagi mempertahankan reputasi serta integriti institusi agama Islam negeri daripada terus dipolitikkan oleh pihak tertentu.