Jatuhnya martabat penulisan buku

Iklan

DR MASZLEE Malik telah menggariskan amanat beliau tentang pendidikan negara yang menjanjikan suatu transformasi hebat ke arah pendidikan yang memastikan perkembangan manusia sebagai entiti ‘ihsan’ yang juga mempunyai pemikiran kritis dan fasih teknologi.

Saya amat gembira membaca amanat beliau yang lebih bermakna daripada amanat Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini yang asyik teruja dengan gaya ‘soaring’nya yang mengejar ranking dan jumlah jurnal tanpa langsung menghiraukan impak ilmu terhadap pembangunan bersama masyarakat.

Iklan
Iklan

Dalam artikel ini saya ingin berkongsi pengalaman dan kesimpulan tentang bagaimana dalam dunia pengajian tinggi, buku sudah hilang martabatnya sebagai elemen penyebaran ilmu dan elemen pembangunan pemikiran.

Pertama, saya ingin mencadangkan bahawa pihak Dewan Bahasa dan penerbit universiti awam membaiki borang-borang penilaian buku karya asli dengan membuang secara langsung soalan yang berbunyi ‘adakah buku ini menentang polisi-polisi kerajaan’.

Iklan

Sefaham saya kesemua pemikiran bernas yang diasaskan dengan perbahasan akademik bersokongkan data atau maklumat pengalaman atau kajian adalah pemikiran baharu yang bakal mengubah masyarakat. Maka itu, memanglah kebanyakan pemikiran yang dibukukan itu menentang polisi-polisi kerajaan! Adakah Dewan Bahasa dan penerbit universiti semata-mata kilang buku teks yang semuanya mengikut telunjuk polisi ahli politik yang banyaknya tak panjang akal dalam membuat polisi?

Kenapa buku tidak boleh menentang polisi? Biarlah buku menentang polisi kerana para pembangkang pun tak tahu nak membuat formulasi pemikiran jauh ke depan sehingga 50 atau 100 tahun. Pembangkang sekarang hanya tahu isu remeh seperti lampu-lampu bangunan yang nampak macam salib! Itu modal politik pembangkang!

Iklan

Saya berpendapat, cendekiawan sepatutnya menjadi ‘the third political force’ selepas pemerintah dan pembangkang. Bezanya cendekiawan tiada parti, hanya dirinya seorang dan senjatanya hanyalah keyboard komputer serta internet. Itu saja. Maka itu penulisan dan penerbitan buku harus dikembalikan martabat kritis dan sila buang tabiat mengampu pemimpin dan pemerintah dalam kalangan eksekutif Dewan Bahasa atau Pengurusan Penerbitan Universiti Awam.

Kedua, kembalikan buku sebagai KPI utama kenaikan pangkat di universiti. Sewaktu saya memulakan kerjaya di IPTA, penulisan buku adalah hasil tertinggi KPI. Selang 20 tahun kemudian slot penulisan buku telah jatuh kepada kategori ‘other publications’ sama seperti artikel media massa.

Yang mengambil tempat pertama KPI adalah jurnal luar negara yang memerlukan beribu-ribu ringgit untuk diterbitkan setiap rencana. Buku telah jatuh martabat kepada tulisan biasa-biasa. Bukan itu sahaja, jika seorang akademik menulis buku untuk kanak-kanak atau orang awam memahami bidang teknologi atau sosial, buku itu markahnya kurang daripada buku kategori ‘penyelidikan’.

Pihak universiti memang saya rasa tidak pernah membaca buku-buku Stephan Hawking dan Michiu Kaku, dua personaliti Fizik yang terkemuka di dunia. Mereka telah menghasilkan berpuluh buku tentang ilmu fizik kosmologi bagi menerangkannya kepada masyarakat umum supaya bukan sahaja masyarakat menjadi celik ilmu tetapi juga orang-orang kaya dapat menyumbang dana bagi penyelidikan-penyelidikan mereka.

Adakah para profesor kita menulis buku kanak-kanak untuk memastikan generasi baharu menyambung warisan ilmu? Adakah para profesor kita cuba menulis tentang kelestarian persekitaran agar masyarakat dapat berjiwa lestari menyelamatkan planet khidupan kita bersama? Tidak ada tuan-tuan. Para profesor sibuk mengejar geran berjuta-juta untuk berjalan makan angin di luar negara dan mengisi bakul anugerah Datuk atau Datuk Seri supaya dapat mendekatkan diri dengan orang-orang besar supaya akan dapat lebih banyak habuan dunia.

Adakah cendekiawan ini tahu makna warisan ilmu? Warisan yang bakal memacu inspirasi anak-anak muda di sekolah dan universiti untuk mengembangkan ilmu itu ke tahap lebih tinggi dan bermakna? Saya kira tidak.

Akhir sekali, saya hendak berkongsi sedikit tentang hadiah penulisan buku yang telah jatuh tertiarap. Saya telah memenangi empat anugerah karya buku asli peringkat kebangsaan. Dalam semua majlis itu tidak pernahnya buku yang memenangi itu dibuat ulasan dalam media massa secara meluas. Tidak pernah juga saya diwawancara oleh media. Media asyik bercakap dengan menteri. Saya yang menang anugerah. Saya yang mempunyai pemikiran yang dibukukan yang bakal merubah masyarakat kita. Yang pergi temu bual menteri tu buat apa? Apa yang dia tahu? Soaring upwards saja.

Kemudian saya hendak ceritakan betapa remuk hati dalam satu majlis anugerah penulisan. Buku saya telah memenangi anugerah utama dengan Wang RM7,000 yang saya terpaksa berkongsi dengan penulis lain. Kemudian dilaungkan pula tulisan Jurnal Terbaik pun mendapat RM7,000! Tiba-tiba saya terdengar anugerah penyunting buku terbaik yang juga mendapat RM7,000! Sudahlah begitu, anugerah Pengatur Huruf terbaik pun mendapat RM7,000! Saya terpinga-pinga, bagaimana disamakan taraf penulis buku dengan penulis jurnal, penyunting dan pengatur huruf?

Saya rasa impian Dr Maszlee bakal kecundang jika martabat penulisan buku tidak dikembalikan kepada taraf waktu dahulukala sebelum penulisan jurnal membutakan mata hati pengurusan universiti dan pihak Anugerah Buku yang teruja dengan penyunting dan pengatur hurufnya.

* Penulis ialah Profesor Senibina di sebuah universiti swasta tempatan