SUDAH menjadi normal baharu apabila sesuatu isu yang mencuri perhatian netizen mampu menjadi tular di media sosial dalam sekelip mata.
Boleh dikatakan hampir setiap hari, ada sahaja kes atau isu tular melibatkan selebriti, ahli politik, instafamous mahupun orang biasa yang mana perkara itu mampu membawa kesan buruk jika dibiarkan berlarutan.
Contohnya pokok lidah jin, dulu orang tak pandang pun. Tumbuh merata-rata pun tidak ada siapa yang hairan. Tetapi apabila sudah tular, jadi hot item. Harga pun naik mencanak-canak.
Bila letak dalam pasu, lagi mahal harganya. Dulu pokok ini boleh jumpa di belakang rumah atau tepi longkang. Malah pokok itu juga berlambak di kawasan kampung. Tetapi sekarang standardnya sudah tinggi. Ada yang letak di dalam rumah, bilik atau di sebelah televisyen.
Dulu ada yang kata pokok itu buat ‘menyemak’ halaman rumah saja. Tetapi sekarang, pokok itu diburu. Malah dikatakan banyak khasiat.
Begitulah hebatnya kuasa tular. Dengan hanya satu klik atau send, boleh mempopularkan sesuatu benda.
Sebelum ini, kuasa tular juga yang mempopularkan piza kayu api yang diusahakan oleh sebuah keluarga di Kampung Baru Desa Jemapoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Perniagaan mereka tiba-tiba popular kerana kelainan memasak piza menggunakan kayu api dan dipanaskan di dalam dapur sabak yang diperbuat daripada tanah liat.
Pada peringkat awal piza itu hanya dijual kepada penduduk di sekitar kampung namun apabila perkongsian piza itu di sebuah grup dalam laman Facebook menjadi tular, ia mula mendapat perhatian orang ramai bukan sahaja dari Kuala Pilah malah dari daerah lain.
Maka ramailah yang ingin merasai piza istimewa itu sehingga pengusahanya tidak menang tangan menerima tempahan.
Bagaimanapun, baru-baru ini mereka terpaksa membuat pengumuman bahawa riwayat sabak kayu mereka yang berusia lebih 10 tahun itu telah tamat.
Oleh itu, penggemar piza kayu api perlu bersabar dalam seminggu dua sementara mereka siapkan dapur sabak yang lebih besar dan kukuh. Namun ada juga perniagaan yang jatuh akibat kuasa tular. Sebelum ini tersebar khabar angin yang mendakwa bahawa pengasas sos Aminah Hassan telah meninggal dunia sementara perniagaannya pula telah diambil alih oleh peniaga asing.
Berikutan itu, produk tersebut tidak lagi mendapat sambutan dan terpaksa ditutup operasi kerana mengalami kemerosotan.
Pihak syarikat Aminah Hassan terpaksa tampil menjelaskan perkara sebenar dan menafikan khabar angin yang telah tersebar.
Sebelum ini pun banyak pengurusan restoran yang terpaksa tampil membuat penjelasan apabila ada pihak yang membuat fitnah di media sosial kononnya makanan yang dijual mengandungi bahan tidak halal.
Bayangkan berapa nilai kerugian yang terpaksa ditanggung akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab dengan penyebaran berita yang tidak betul itu.
Kesan
Jika perniagaan mereka terpaksa gulung tikar, bayangkan pula nasib pekerjanya yang terpaksa diberhentikan. Bagaimana pula mereka mahu menyara anak di rumah dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar sekarang ini.
Semuanya gara-gara hanya satu klik pada butang ‘kongsi’ tanpa usul periksa.
Perkara pokoknya di sini tidak kiralah apa pun perkara yang tular itu, sama ada bersifat positif ataupun negatif, kedua-duanya mempunyai kesan baik buruknya.
Dari sudut positif, mungkin ia membantu menaikkan nama seseorang atau produk sehingga dikenali ramai berbanding sebelum ini.
Namun ia hanya akan menjadi sesuatu yang buruk apabila masing-masing tidak mendalami kesahihan maklumat tular dan kemudian menyebarkan pula maklumat palsu.
Tidak perlu menjadi orang pertama yang menyampaikan sesuatu maklumat jika info yang diterima itu belum tentu kesahihan dan kebenarannya.