1,000 pekerja sektor penerbangan dijangka dibuang kerja

Iklan
Gambar kecil: Ismail Nasaruddin - Foto 123rf

SHAH ALAM - Hampir 1,000 pekerja sektor penerbangan di negara ini dijangka dibuang kerja dalam tempoh terdekat sekiranya kerajaan tidak menyediakan peruntukan untuk membiayai syarikat penerbangan yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Ismail Nasaruddin berkata, ia juga akan menjejaskan keseluruhan rantaian industri penerbangan termasuk rakyat marhaen jika syarikat penerbangan tambang murah ditutup.

Iklan
Iklan

"Kita anggarkan hampir 1,000 pekerja sektor penerbangan daripada semua bahagian termasuk juruterbang, jurutera dan kru kabin akan hilang kerja tidak lama lagi kalau kerajaan tidak beri bantuan kepada industri penerbangan yang sedang tenat sekarang.

"Kita juga jangka lebih ramai lagi dibuang selepas ini jika keadaan ini berterusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Iklan

Mengulas lanjut, Ismail berkata, situasi itu ibarat detik getir buat pekerja sektor itu kerana sebelum dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, sudah ramai pekerja syarikat penerbangan diberhentikan kerja dan tidak disambung kontrak.

Berikutan itu, beliau berkata, dalam keadaan kritikal sekarang, kerajaan perlu membantu memulihkan semula industri penerbangan kerana industri itu sendiri sebelum ini turut membantu meningkatkan perkembangan ekonomi negara.

Iklan

"Tidak wajar kalau kerajaan tidak membantu dalam keadaan wabak Covid-19 ketika ini yang kita tahu memberi impak buruk kepada kesemua sektor termasuk penerbangan.

"Dalam keadaan teruk sekarang, saya berpendapat kerajaan perlu merangka satu pelan rangsangan kepada syarikat-syarikat penerbangan yang terjejas agar mereka dapat meneruskan operasi,” katanya.