Kuasa eksekutif Persekutuan

Iklan
Gambar hiasan -Foto 123rf

RAMAI yang keliru siapakah sebenarnya memegang kuasa eksekutif bagi Persekutuan. Ada yang mengatakan Perdana Menteri mempunyai kuasa eksekutif yang paling tinggi kerana beliau dipilih oleh rakyat berdasarkan amalan demokrasi di Malaysia. Tidak kurang juga yang mengatakan ‘pemerintah’ tertinggi adalah Perlembagaan Persekutuan kerana ia dokumen undang-undang yang tertinggi dalam negara.

Ruangan kali ini akan meneliti dari aspek Perlembagaan berkaitan perkara ini. Kita perlu merujuk kepada Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 39 tersebut berbunyi:

Iklan
Iklan

"Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.”

Pembacaan teliti kepada Perkara 39 di atas akan merungkaikan beberapa isu dan pemahaman yang jelas iaitu:

Iklan

1. Kuasa eksekutif atau pemerintahan bagi Persekutuan adalah dimiliki oleh Yang di-Pertuan Agong;

2. Tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Persekutuan dan Jadual Kedua Perlembagaan, kuasa tersebut boleh dijalankan oleh

Iklan

(a) Yang di-Pertuan Agong sendiri;

(b) Jemaah Menteri; atau

(c) Mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri.

3. Parlimen boleh memberikan fungsi eksekutif tersebut kepada orang lain jika undang-undang dibuat sedemikian.

Oleh itu, sangat jelas dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan eksekutif atau pemerintah sebenar Persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agong. Cuma dalam menjalankan kuasa tersebut, ia boleh dijalankan oleh Agong sendiri, Jemaah Menteri atau mana-mana menteri yang diberi kuasa melalui undang-undang oleh Jemaah Menteri. Pada masa yang sama jika Parlimen membuat undang-undang memberikan fungsi eksekutif ini kepada orang lain, maka fungsi tersebut boleh berpindah kepada orang lain.

Mungkin kita sudah lazim menyedari kuasa eksekutif yang dijalankan oleh Jemaah Menteri sehingga kita membentuk persepsi bahawa Jemaah Menterilah yang mempunyai kuasa tertinggi sehingga mengabaikan peruntukan Perkara 39.

Berbalik kepada Perkara 39, sebenarnya kuasa eksekutif itu boleh dijalankan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong dan orang lain melalui undang-undang.

Undang-undang

Walau apa pun kuasa tersebut, ia mestilah tertakluk kepada undang-undang Persekutuan dan Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan sebagaimana tercatat dalam Perkara 39. Namun, kita perlu juga melihat kepada persoalan yang mungkin timbul dalam Perkara 40 yang menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

Ironinya, Perkara 39 mengatakan Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan kuasa eksekutifnya sendiri tetapi Perkara 40 memperuntukkan Yang di- Pertuan Agong hendaklah bertindak menurut nasihat Jemaah Menteri.

Bagi mengharmonikan kedua-dua peruntukan Perlembagaan ini, saya berpendapat jika Yang di-Pertuan Agong menjalankan kuasa eksekutifnya sendiri menurut Perkara 39, maka Perkara 40 tidaklah terpakai. Perkara 40 terpakai jika fungsi eksekutif itu dijalankan oleh Jemaah Menteri atau mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, persoalan sebegini masih belum diuji tafsirannya di mahkamah setakat ini. Jika persoalan sebegini dijawab secara afirmatif oleh mahkamah, ia merupakan titik tolak baharu dalam era pemerintahan di Malaysia yang selama ini hanya bergantung kepada Jemaah Menteri yang kebanyakannya terdiri dalam kalangan ahli politik.

Perkara 39 juga tidak menjelaskan secara tuntas sama ada Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan kuasa eksekutifnya secara sebahagian sahaja ataupun perlu menjalankannya secara keseluruhan menurut Perkara 39 tersebut.

Di sini tidak timbul persoalan berkaitan penolakan atau menggugat demokrasi kerana ia dibenarkan oleh Perlembagaan. Walaupun Kanun Keseksaan ada menyatakan kesalahan melakukan tindakan yang menggugat demokrasi, demokrasi itu sendiri tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

Semua isu ini hanya boleh diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan yang merupakan badan yang paling berautoritatif dalam memberikan tafsiran kepada Perlembagaan Persekutuan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)