Khatan budak sebelum kenduri

Iklan
Hanisah (kanan) dibantu Hannan (tengah) sambil diperhatikan Abd Nasir (belakang)

BALING - Seorang pengantin yang juga doktor sempat meluangkan masa membantu mengkhatankan peserta program Khatan Perdana di markas Becah Sawa, semalam.

Dr Hanan Abd Nasir, 26, berkata, beliau meluangkan sedikit masa untuk membantu kakaknya, Dr Hanisah mengkhatankan peserta pada sebelah pagi sebelum berlangsungnya majlis kenduri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tugas membantu masyarakat sebati dengan hidupnya.

"Walaupun sibuk dengan majlis perkahwinan, saya tetap mahu memberikan sumbangan kepada masyarakat," katanya.

Iklan

Beliau yang juga anak keempat daripada enam adik beradik berkata, berkhidmat sebagai doktor di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang lebih mendidiknya bertanggungjawab kepada orang ramai.

"Bidang ini melahirkan sensitiviti untuk membantu orang ramai walaupun kita sendiri terikat dengan komitmen lain," katanya yang juga anak kepada Adun Bayu, Abd Nasir Idris.

Iklan

Manakala, Hanisah, 30, berkata, perasaannya gembira dapat membantu kanak-kanak yang terdiri daripada penduduk sekitar berkhatan.

"Saya balik kampung untuk hadir kenduri adik, tetapi apabila ada majlis sebegini apa salahnya kami sama-sama membantu," katanya yang bertugas di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Sementara itu, Pegawai Pusat Khidmat Dun Bayu, Fakhrurazi Ahmad berkata, program berkenaan julung kali diadakan di Dun Bayu dengan penyertaan seramai 31 peserta.

Menurutnya, sebelum dikhatankan kanak-kanak dimandikan beramai-ramai terlebih dahulu.

"Kanak-kanak ini dimandikan oleh pihak bomba. Program hari ini menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

"Kita sasarkan kehadiran seramai 30 orang dan sasaran itu berjaya. Insya-ALLAH program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Abd Nasir Idris merasmikan program berkenaan.