Dilema Mahathir (III)

Iklan

SETELAH mencatatkan kemenangan mengejut dalam pilihan raya lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berhadapan dilema untuk menyusun semula pentadbiran negara agar kepentingan Bumiputera dan Islam terpelihara.

Mahathir sedar suara orang Melayu dalam kerajaan sangat lemah. Bersatu hanya mempunyai 13 kerusi Parlimen dari 222 kerusi keseluruhan. Lemahnya suara Bersatu dalam kerajaan bermakna kedudukan beliau juga sangat lemah. Mahathir sendiri mengakui kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri adalah atas cadangan DAP.

Iklan
Iklan

Kekuatan Umno digabungkan dengan Pas dan PBB (Sarawak) menjadikan Mahathir hanya sebagai pemimpin minoriti Bumiputera dalam kerajaan yang dikuasai oleh DAP. Justeru Mahathir berulang kali memberi isyarat supaya Umno dibubarkan dan orang Melayu menyertai parti beliau, Bersatu.

Pada minggu lalu saya menulis bahawa ada dua sebab Mahathir gagal menyatukan orang Melayu di bawah payung baharu Bersatu. Pertamanya sikap Mahathir yang ego dan tersalah baca psikologi manusia Melayu. Jika Mahathir sanggup berubah tidak mustahil Bersatu dan Umno akan menjadi satu.

Iklan

Faktor kedua yang tidak kurang penting ialah DAP. Hasil indoktrinasi Mahathir sejak 1965 sehingga 2014, orang Melayu melihat DAP sebagai bayangan PAP, parti yang membawa Singapura keluar dari Malaysia.

DAP juga diasosiasikan dengan Parti Komunis Malaya (PKM). PKM adalah musuh utama kepada majoriti orang Melayu yang celik sejarah. Orang Melayu diseksa, dihina dan dibunuh oleh gerakan komunis. PKM pada zaman kehebatan mereka berusaha menggagalkan kemerdekaan negara ini dan membawa Persekutuan Tanah Melayu berada dalam lingkaran komunis Asia.

Iklan

Malah sehingga kini DAP masih cuba menukar sejarah bahawa PKM yang berkiblatkan Komunis China sebagai pejuang kemerdekaan. Seperti PKM yang mempunyai maskot-maskot Melayu Islam, DAP juga menggunakan strategi yang sama. Mereka memesongkan segelintir orang Melayu supaya menjadi maskot menjayakan agenda mereka.

Dari semasa ke semasa DAP akan merekrut orang Melayu sebagai maskot parti mereka bagi menukar imej sebuah parti cauvinis Cina. DAP mungkin telah keluar dari kepompong cauvinis Cina namun mereka tidak pernah meninggalkan idea menghapuskan kedudukan Bumiputera dan Islam.

Dalam sedekad kebelakangan ini majoriti orang Melayu juga melihat pendakwah Kristian berbangsa Cina telah menguasai kepimpinan dan agenda parti tersebut. Sama ada ia satu kebenaran tidak penting kerana itulah tanggapan sebahagian besar orang Melayu.

Orang Melayu juga tidak lupa dengan tingkah laku DAP sehingga mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969. Justeru majoriti orang Melayu tidak akan menerima DAP sebagai sebahagian daripada ikatan membentuk kerajaan. Bagi sebahagian besar orang Melayu, biarlah tidak menjadi kerajaan dari memberi kuasa kepada DAP.

Kini Mahathir sedar majoriti orang Melayu tidak dapat menerima ideologi, sikap dan tingkah laku DAP. Walaupun DAP sanggup mengorbankan kawasan majoriti Cina untuk meletak maskot-maskot Melayu mereka, ia tidak banyak mengubah persepsi majoriti Melayu.

Walaupun cuba meyakinkan orang Melayu bahawa DAP sudah berubah; realitinya kedudukan Mahathir bergantung kepada sejauh mana beliau boleh bertolak ansur dengan kehendak DAP. Ini kerana DAP mempunyai Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai"dark horse” yang boleh diangkat sebagai perdana menteri pada bila-bila masa.

Usaha Mahathir melumpuhkan Umno melalui cara"mempengaruhi” wakil-wakil rakyat Umno menyertai Bersatu juga gagal apabila mendapat tentangan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan.

PH membuat keputusan mereka yang hendak"melompat” masuk harus melalui"cooling period”. Justeru sebaik ada wakil rakyat mengumumkan keluar Umno, semua parti dalam PH akan mengemukakan tawaran-tawaran menarik dalam tempoh"cooling period” ini.

Ini menjejaskan usaha Mahathir untuk membunuh Umno secara demokratik dan membesarkan Bersatu. Selagi Umno masih wujud agak sukar untuk Bersatu menarik majoriti orang Melayu yang masih setia kepada Umno.

Terdapat ura-ura bahawa Mahathir ada perkiraan untuk mengharamkan Umno. Beliau berharap pengharaman ini akan menyebabkan semua wakil rakyat dan ahli Umno menyertai Bersatu. Namun ini satu kiraan berisiko tinggi kerana sikap Mahathir dan imej DAP mungkin menyebabkan lebih ramai orang Melayu dan wakil rakyat Umno menyertai Pas.

Malah tidak mustahil mereka akan menyertai PKR. Mengapa mereka hendak menyertai Bersatu sedangkan dalam masa setahun setengah lagi Anwar Ibrahim yang akan menjadi perdana menteri?

Malah sesuatu yang mungkin tidak disedari Mahathir ialah DAP sedang merancang menggunakan kuasa dan pengaruh mereka di Kementerian Kewangan untuk menarik Melayu kelas menengah menyertai DAP. Jika rancangan ini berjalan lancar, pelan Mahathir mengukuhkan Bersatu semakin tipis dan sukar.

Dalam soal kepentingan Melayu dan lslam pada masa ini, pisau dan mentimun di tangan Mahathir. Cabaran Mahathir pada usia 94 tahun adalah masa. Apakah beliau cukup masa untuk menyatukan semula masyarakat Bumiputera dan Islam?

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)