PRK Cameron Highlands

Iklan

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands adalah satu medan ujian untuk menguji tahap sokongan komuniti bukan Melayu kepada kerajaan PH yang bakal diadakan pada 26 Januari ini. Empat calon terlibat, iaitu daripada BN, PH dan dua calon bebas.

Kerusi Cameron Highlands (CH) adalah milik asal MIC tetapi disebabkan terdapat bukti kesalahan pemberian rasuah sewaktu berkempen dalam PRU14, maka kerusi tersebut dikosongkan dan Datuk C Sivarraajh tidak dibenarkan bertanding oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama 5 tahun. Ini menyebabkan kerusi tradisi MIC diserahkan kepada BN untuk bertanding.

Iklan
Iklan

Terdapat beberapa isu panas melibatkan komuniti CH seperti isu kuil Seafield, kos sara hidup, hak legitimasi komuniti India dan peruntukan kerajaan PH turut menjadi faktor MIC menarik diri daripada bertanding.

Kemenangan BN dalam PRK CH tetap ada tetapi menghadapi laluan sukar. Di setiap kegelapan dan kekalahan dalam PRK yang lepas sebenarnya telah mengajar BN untuk menjadi lebih matang dalam menjalani PRK yang bersih daripada elemen rasuah. Maka, tidak menghairankan dengan usaha gigih dan strategi di luar kotak pemikiran politik terdahulu mampu mengukir cahaya yang akan bersinar untuk bangkit kembali.

Iklan

Perlu diingatkan juga bukan semua Orang Asli akan menyokong calon BN yang merupakan penduduk setempat CH. Berbagai tanggapan dan sentimen komuniti Orang Asli perlu diberikan perhatian, khususnya di Dun Jelai oleh Umno Pahang.

Jika dilihat, PH mempunyai kelebihan di Dun Tanah Rata manakala BN di Dun Jelai. Kekuatan BN dan PH adalah seimbang walaupun dicabar oleh dua calon bebas yang turut bertanding. Tambahan pula jentera MIC masih kurang bermaya dalam gerakan undi India berbanding jentera DAP yang aktif walaupun calonnya adalah yang sama dalam PRU14. Walaupun begitu, masih ramai yang kurang beri jawapan pasti undi mereka dalam PRK CH.

Iklan

PH mampu meraih kemenangan dalam PRK CH jika beberapa isu dan masalah Orang Asli boleh ditangani dalam masa terdekat. Dengan PH yang menjadi Kerajaan Pusat sebenarnya memberikan banyak kelebihan dalam menyelesaikan permasalahan dan sentimen komuniti setempat sebelum tarikh mengundi. Antaranya isu alam sekitar yang menjejaskan kegiatan sosioekonomi penduduk CH, isu pembangunan infrastruktur jalan dan kemudahan asas.

Berkemungkinan peratusan keluar mengundi akan menurun jika wujudnya protes ke atas kepimpinan PH di peringkat pusat. Jika ini berlaku, apakah tindakan SPR dalam memperbaiki jumlah yang keluar mengundi dapat ditingkatkan melebihi 70%. SPR juga perlu telus dan adil dalam menangani permasalahan pemberian wang dan lain-lain semasa berkempen. Jika kedua-dua isu ini tidak mampu ditangani, maka SPR gagal menjalankan fungsinya sebagai badan neutraliti dalam pilihan raya di negara ini.

Sokongan undi bukan Melayu tetap penting walaupun MIC telah menarik diri. Pengundi bukan Melayu melihat isu nasional dan lokal saling berkait. Ini membawa kepada sosialisasi politik sesama komuniti bukan Melayu di CH kepada beberapa persoalan iaitu hak legitimasi dan kepentingan komuniti bukan Melayu di negara ini seperti bantuan kerajaan dalam membangunkan sosioekonomi, kelangsungan hidup sekolah jenis kebangsaan, agama dan budaya bukan Melayu di negara ini. Isu lokaliti akan dilihat dalam konteks nasional. Sebarang impak ke atas lokaliti akan mempengaruhi pengundi bukan Melayu di CH.

Akhir sekali adalah penentuan calon dari segi latar belakang dan sentimen tempatan dalam kalangan komuniti CH yang menjadi faktor utama dalam kemenangan calon di CH. Peribadi calon perlu dilihat dari semua aspek bermula dengan aspek peribadi sehinggalah keluarga calon turut diambil kira. Aspek ini amatlah penting kerana pandangan dan pemikiran politik komuniti CH tidak sama dengan komuniti lain.

Apa yang utama adalah calon yang menang nanti jika bukan dari PH, adakah calon ini akan melakukan lompat parti atau tidak. Satu ikrar perlu dilaksanakan oleh calon BN kepada penduduk CH. Lebih-lebih lagi melihat kepada isu Ahli Parlimen Umno dari BN yang isytihar keluar parti telah memberikan satu persepsi negatif dalam kalangan pengundi.

Manakala penglibatan Pas bersama Umno mampu memberikan kesan dan impak ke atas pengundi-pengundi bukan Melayu walaupun dikatakan Pas mampu menarik undi Melayu. Kawasan Parlimen Cameron Highlands tidak melihat kepada aspek sentimen sahaja tetapi skop yang lebih luas iaitu adakah calon yang bertanding benar-benar bersih dari segi rasuah dan meletakkan kepentingan komuniti CH lebih daripada kepentingan peribadi calon?

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan