Karangkraf serah 400 al-Quran wakaf

Iklan
Muhammad Nasir (dua dari kanan) menyerahkan al-Quran wakaf kepada salah satu jabatan dari Bachok hari ini.

BACHOK - Kumpulan Karangkraf dengan kerjasama Sinar Harian, Yayasan Nur Karangkraf, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petronas Malaysia dan rakyat negara ini meneruskan usaha untuk menjayakan impian setiap rumah memiliki al-Quran menerusi misi Senaskah Al-Quran Setulus Kasih.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, misi tersebut membawa harapan besar untuk menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan yang membawa kepada keharmonian sejagat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain mengajak pelbagai pihak termasuk orang ramai menderma atau mewakafkan al-Quran, beliau juga mengharapkan dengan inisiatif dijalankan secara bersama itu membolehkan setiap kediaman mempunyai al-Quran untuk dimanfaatkan.

"Dunia semasa hari ini kita lihat terdapat pelbagai pertelingkahan berlaku, yang kadang-kadang dilihat melampaui batasan sehingga 'mengherdik' normal kehidupan seharian.

Iklan

"Apabila setiap rumah mahupun agensi-agensi memiliki al-Quran, al-Quran itu dibaca, dihayati dan diamalkan ia boleh dijadikan sebagai rawatan untuk jiwa masing-masing dan seterusnya melahirkan seorang Islam yang sejati dalam masyarakat majmuk.

"Kembalilah kepada al-Quran, bacalah al-Quran, bertadabur dan amalkan kebaikan yang diajar di dalam al-Quran supaya masyarakat dunia Islam kita hari ini disirami dengan nilai-nilai yang murni untuk kesejahteraan seluruh umat,” katanya di sini kelmarin.

Iklan

Terdahulu, beliau menyerahkan 400 naskhah al-Quran kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Al-Quran Wakaf, Cakna Bachok Peringkat DUN Pantai Irama di Dewan Tok Bachok Masjid Mahmudi.

Muhammad Nasir juga memberitahu, selain diberikan kepada masjid, al-Quran yang diwakafkan itu juga diagihkan kepada agensi dan juga barisan petugas hadapan yang berkhidmat memerangi wabak koronavirus di seluruh negara.

Katanya, program tersebut diteruskan dari masa ke masa memandangkan terdapat pelbagai pihak tampil menyokong usaha dilakukan selain menerima sumbangan orang ramai untuk mewakafkan al-Quran.

Sementara itu, menyokong usaha dijalankan tersebut, Mohd Huzaimy berkata, al-Quran yang dihulurkan itu akan diagihkan kepada pejabat kerajaan di sekitarnya selain didermakan kepada rumah anak-anak yatim.

"Kita menyokong inisiatif yang digerakkan Kumpulan Karangkraf dan Sinar Harian ini dalam membentuk masyarakat yang dekat dengan al-Quran kerana ia selari dengan apa dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Dalam kehidupan seharian kita, ia tidak boleh lari daripada menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup,” katanya.

Beliau mengharapkan al-Quran yang diwakafkan itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penerima supaya semua yang terlibat mendapat rahmatnya.

"Terima kasih kepada semua yang mewakafkan al-Quran ini dan saya mendoakan supaya setiap insan ini menerima kebaikannya dan lebih ramai yang akan menderma,” katanya.