SUNGAI BULOH - Sebanyak 1,000 set wakaf mengandungi Al-Quran, Yasin, buku-buku Islamik serta bahan bacaan kerohanian akan diagihkan kepada surau, masjid, institusi pendidikan dan organisasi korporat terpilih di seluruh negara menerusi Program Wakaf Al-Quran 2026 anjuran Karangkraf melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI).
Program bertemakan Satu Komuniti, Satu Al-Quran: Membina Jalinan, Menyubur Ketenangan itu berlangsung dari November hingga Disember 2026 dengan memberikan tumpuan khusus kepada golongan miskin bandar di sekitar Lembah Klang.
Ketua Komunikasi Korporat dan Hubungan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, set wakaf berkenaan diwujudkan bagi menyediakan akses kepada sumber ilmu dan penghayatan Islam yang boleh dimanfaatkan secara berterusan oleh masyarakat setempat.
Menurutnya, inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan mental, emosi dan kerohanian melalui pengukuhan peranan surau, masjid, sekolah serta organisasi sebagai pusat penyatuan, sokongan dan pembangunan komuniti.
"Melalui inisiatif Satu Komuniti, Satu Al-Quran, tujuan utama kami adalah untuk memperkukuh institusi komuniti sebagai ruang yang mendorong pembelajaran, pemahaman dan penghayatan Al-Quran dalam kehidupan seharian.
"Usaha ini bukan sekadar memberi bantuan fizikal, malah menjadi wadah untuk memupuk kesejahteraan mental dan kerohanian sekali gus membentuk masyarakat yang lebih resilien, harmoni dan sejahtera," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan agihan membabitkan dua lokasi utama iaitu Masjid Al-Huda Paya Jaras dan Masjid Al Muhtadin Damansara Damai di sini pada Selasa.
Di Masjid Al-Huda Paya Jaras, agihan membabitkan sebuah masjid, 13 surau dan 13 sekolah dengan jumlah direkodkan sebanyak 70.
Sementara itu, di Masjid Al Muhtadin Damansara Damai, agihan membabitkan sebuah masjid, 17 surau, sebuah musolla dan empat sekolah dengan jumlah direkodkan sebanyak 66.
Beliau berkata, kekuatan sesebuah komuniti terletak pada kemampuan anggotanya untuk saling mendukung ketika berdepan kesukaran.
Selain pengagihan set wakaf, Karangkraf turut merancang mewujudkan Quran Corner di lokasi terpilih sebagai ruang komuniti yang menggalakkan aktiviti pembacaan, tadabbur, perkongsian ilmu serta interaksi sosial positif.
"Inisiatif itu dijangka menjadikan surau, masjid, sekolah dan pejabat bukan sekadar tempat menjalankan aktiviti harian, malah pusat pembinaan komuniti yang lebih bersatu, saling menyokong dan berteraskan nilai Islam," katanya.
Sehubungan itu, Karangkraf mengalu-alukan penyertaan pewakaf, rakan strategik dan organisasi korporat untuk bersama-sama menjayakan usaha berkenaan bagi memperluaskan manfaat kepada lebih ramai komuniti yang memerlukan.
Program itu merupakan kesinambungan usaha Karangkraf membantu masyarakat selepas pelaksanaan Program CSR Karangkraf Ramadan Food Drive 2026 yang memberi tumpuan kepada keperluan asas komuniti.
Sementara itu, penerima menyifatkan sumbangan wakaf Al-Quran menerusi Program Satu Komuniti, Satu Al-Quran anjuran Karangkraf dapat membantu meningkatkan akses masyarakat kepada bahan bacaan dan penghayatan al-Quran, khususnya dalam kalangan jemaah masjid, surau serta pelajar sekolah.
Wakil penerima yang ditemui memaklumkan penyediaan naskhah al-Quran terjemahan, bahan tadabbur dan surah Yasin dapat memberi kemudahan kepada masyarakat untuk membaca serta memahami kandungan kitab suci itu.
Pemangku Pengurus Masjid Al-Huda Kampung Paya Jaras, Muhammad Iqbal Syaiful Hazlan Hafifi yang juga Imam Satu berkata, sumbangan berkenaan bukan sekadar menyediakan naskhah al-Quran, malah memudahkan kariah dan orang awam melakukan bacaan serta memahami tafsir.
"Apa yang saya nampak, apa yang Karangkraf bagi bukan al-Quran biasa. Ia lebih kepada al-Quran terjemahan, tadabbur atau ada surah Yasin yang mudah untuk dibaca.
"Jadi, ia lebih mudah untuk kariah atau orang awam membuat bacaan dan tafsir," katanya.
Beliau berharap sumbangan wakaf itu dapat diteruskan supaya memberikan manfaat lebih besar kepada kariah dan masyarakat setempat.
Bagi Timbalan Nazir Masjid Al Muhtadin Damansara Damai, Mustafa Kamal Abu Bakar berkata, setiap huruf al-Quran yang dibaca memberikan ganjaran pahala kepada pembaca dan penyumbang wakaf berkenaan.
Menurutnya, sumbangan itu bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut bahawa apabila seseorang meninggal dunia, terputus amalannya kecuali tiga perkara, antaranya sedekah jariah.
"Ini termasuk sedekah jariah. Setiap orang yang membaca, setiap huruf yang dibaca dan setiap helaian yang dibaca, manfaatnya akan diperoleh penyumbang tersebut.
"Ini satu perkara yang amat dipuji, apatah lagi al-Quran yang disumbangkan turut mempunyai tafsir dan terjemahan yang membolehkan masyarakat lebih memahami kandungannya," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan penerangan yang diberikan, setiap huruf al-Quran yang dibaca mendapat 10 pahala pada hari biasa, manakala ganjaran itu disebut boleh digandakan sehingga 70 kali ganda, bersamaan 700 pahala bagi setiap huruf.
Menurutnya, jumlah ganjaran itu menggambarkan kelebihan sumbangan wakaf al-Quran, lebih-lebih lagi apabila naskhah berkenaan terus dimanfaatkan oleh masyarakat.
Mustafa Kamal berkata, usaha menyediakan al-Quran berserta tafsir dan terjemahan juga dapat memberikan semangat kepada masyarakat untuk lebih mendalami kitab suci berkenaan.
Sementara itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Buloh, Safitri Ayub berkata, sumbangan Karangkraf membantu pihak sekolah menyediakan naskhah al-Quran untuk kegunaan pelajar di surau institusi berkenaan.
Menurutnya, Karangkraf turut menyediakan ruang Quran Corner yang boleh dimanfaatkan sebagai tempat membaca, bertadabbur dan berkongsi ilmu al-Quran.
"Kemudahan itu memberi peluang kepada pelajar untuk menggunakan naskhah al-Quran yang disumbangkan, selain menggalakkan aktiviti penghayatan kitab suci berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, wakil Surau Nurul Huda Kampung Kubu Gajah, Muhammad Radhi Ahmad berkata, sumbangan al-Quran itu diyakini dapat membantu jemaah dan ahli kariah mendalami ilmu al-Quran.
Beliau berkata, masyarakat perlu mendalami ilmu al-Quran kerana kitab suci itu penting dalam kehidupan.
"Alhamdulillah, kita percaya sumbangan al-Quran ini dapat membantu jemaah dan ahli kariah surau kita dalam mendalami ilmu al-Quran ini.
"Yang pastinya, al-Quran itu penting dalam hidup kita dan masyarakat serta ahli kariah semua perlu mendalami ilmu al-Quran ini supaya hidup kita lebih bermakna pada masa akan datang," katanya.