Annuar sahkan surat arahan kepada penduduk pangsapuri di Cheras tulen

Iklan
Gambar kiri: Annuar

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa hari ini mengesahkan surat arahan berhubung aktiviti kawalan dan pensampelan Covid-19 ke atas penghuni Blok D Pangsapuri Segar Ria, Taman Bukit Segar, Cheras yang tular semalam adalah tulen.

Beliau dalam ciapan Twitternya turut memuat naik salinan surat yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Cheras kepada Badan Pengurusan Bersama pangsapuri itu yang menyatakan bahawa terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan penghuni Blok D di pangsapuri berkenaan.

Iklan
Iklan

"Ada yang tanya adakah surat ini tulen, jawabnya ya, (penghuni Pangsapuri Segar Ria) pohon beri kerjasama," katanya dalam ciapan Twitter beliau

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster Pangsapuri Cheras: Mungkin sebab kunjungan sempena Aidilfitri

Semalam, tular di media sosial surat yang ditandatangani Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Cheras, Datin Dr Noriah Hajib memaklumkan kepada penghuni terlibat bahawa aktiviti kawalan dan pensampelan Covid-19 akan dijalankan esok (hari ini) susulan kes positif yang dilaporkan itu.

Iklan

Dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu kluster baharu dikesan di sebuah pangsapuri di Cheras yang mempunyai enam kes iaitu tiga kes penghuni dan tiga di luar kawasan pangsapuri.

Katanya, punca sebenar penularan kluster itu masih disiasat dan beliau tidak menolak kemungkinan berkaitan dengan aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan semasa Aidilfitri.

Iklan

Dr Noor Hisham berkata, selain tindakan pengesanan kes secara aktif, beberapa langkah kawalan penularan wabak di pangsapuri itu turut giat dijalankan seperti pengasingan kontak dan aktiviti persampelan, aktiviti nyahkuman dan nyahcemar serta hebahan pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan jangkitan Covid-19. - Bernama