Ada ketua jabatan tidak bertimbang rasa: Cuepacs

Iklan
Presiden CUEPACS, Adnan Mat.

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kecewa dengan sikap ketua jabatan di pelbagai kementerian yang tidak bertimbang rasa mengenai penggiliran waktu bekerja dan waktu bekerja anjal kepada kakitangan yang mempunyai kesulitan penjagaan anak.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ketika ini rata-rata pekerja termasuk penjawat awam mempunyai kesulitan untuk bekerja terutama bagi kedua-dua pasangan bekerja kerana kebanyakan taska dan tadika masih lagi ditutup.

Iklan
Iklan

"Cuepacs kecewa apabila terdapat ketua jabatan yang tidak peka mengenai masalah ini dan tetap mengarahkan kakitangan yang mempunyai kesulitan menjaga anak datang bekerja walaupun telah dimaklumkan mengenai masalah berkenaan. Masalah ini berlaku kerana kedua-dua pasangan telah mula bertugas secara serentak.

"Lebih teruk lagi ada ketua jabatan yang memberi arahan supaya kakitangan bawahan mereka mengambil cuti tahunan sekiranya tidak dapat bekerja sekiranya perlu menguruskan anak-anak kecil di rumah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata, perkara tersebut amat mendukacitakan kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah memaklumkan untuk membenarkan penggiliran bekerja dan waktu kerja anjal kepada kakitangan awam yang mempunyai kesulitan penjagaan anak bermula 4 Mei lalu.

"Malah kerajaan juga menggalakkan kakitangan awam bekerja daripada rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat sahaja. Selain itu dalam surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam juga telah jelas perlaksanaan bekerja dari rumah (WFH) masih terlaksana terutama mereka yang mengalami situasi masalah penjagaan anak.

Iklan

"Justeru itu, Cuepacs berharap ketua-ketua jabatan menilai semula arahan yang diberikan kepada kakitangan bawahan mereka yang mempunyai kekangan untuk hadir ke pejabat disebabkan perlu menguruskan anak-anak kecil di rumah," katanya.

Katanya, ketua-ketua jabatan juga perlu menggunakan kebijaksanaan mereka dengan mengagihkan kerja dari rumah kepada kakitangan yang mempunyai kekangan.

"Uruskanlah sumber manusia di jabatan masing-masing melalui sistem penggiliran kerja yang lebih efisien dengan mengambil kira masalah dan risiko Covid-19 yang melanda negara ketika ini," katanya.