Jangan bawa isteri melancong ke Rom

Iklan

KENAPA saya cakap jangan bawa isteri melancong ke Rom? Sekejap lagi saya cerita. Sebenarnya beberapa hari lepas, isteri saya ada menghantar mesej. Dalam mesej tersebut yang disertai pautan Facebook, dia menyuruh saya membacanya.

Ia berkenaan seorang lelaki yang menulis hantaran memberitahu bagaimana beliau terpaksa meninggalkan isterinya ketika menyambung belajar di universiti luar negara.

Iklan
Iklan

Pada masa sama juga lelaki itu amat menghargai akan isterinya yang berkorban berpenat-lelah tanpa merungut menjaga anak-anaknya bersendirian ketika ketiadaan beliau itu.

Kata lelaki itu lagi, setelah tamat pembelajaran di luar negara dan pulang semula bekerja di Malaysia, sebagai menghargai pengorbanan isterinya, beliau bertekad tidak akan meninggalkan isterinya lagi. Malah lelaki itu akan sentiasa membawa isterinya bersama jika hendak ke mana-mana.

Iklan

Mungkin itulah mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh isteri saya. Ini kerana saya juga terpaksa meninggalkannya kerana bekerja jauh di Kuala Lumpur. Pada pemahaman saya lagi, mungkin isteri saya bermaksud juga, apabila hendak ke mana-mana, bawalah dia bersama, hatta ke kedai mamak untuk bersama kawan-kawan pun, jangan dilupa.

Maka ini juga adalah satu pesanan untuk kaum lelaki, terutama yang bergelar suami. Jangan tinggalkan isteri sendiri jika hendak ke mana-mana. Kalau ramai anak pun, bawalah mereka bersama juga. Tidak perlu diikutkan sangat peribahasa yang mengatakan sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan.

Iklan

Sebenarnya lagi, apabila menerima mesej ini saya teringat suatu cerita pula. Cerita daripada seorang kawan saya yang pergi melancong dengan membawa isterinya. Kata kawan saya, beberapa tahun lepas, dia dan isterinya telah pergi melancong ke Rom Itali.

"Ia bermula semasa di sebuah hotel. Isteri aku baru pulang dari beli-belah. Entah kenapa masuk bilik senyum sipu. Aku pun tanyalah kenapa. Dia beritahu, ada seorang lelaki Itali puji dia mempunyai mata coklat yang cantik."

"Aku pun cakaplah jangan perasan. Biasalah orang lelaki berbahasa. Peniaga pula tu. Nak lariskan jualan saja.”

Isteri aku pun jawab"betullah orang Itali itu yang kata. Mereka ni sangat beradab. Terasa sangat kita sebagai wanita amat dihargai.”

Menyampah pula aku dengarnya. Kemudian aku kata pada isteri,"Abang pun pernah puji awak begitu juga?’’

"Bila? Pernah ke kata mata coklat kita cantik?” tanya isteri aku pula.

"Tak adalah. Lagipun abang tengok mata awak bukan coklat, tapi hitam. Jadi macam mana nak kata mata coklat cantik,” kata aku pula.

"Apa salahnya kalau cakap bohong, untuk mengambil hati isteri saja,” kata isteri aku pula. Setelah berfikir secara mendalam, aku mengambil keputusan untuk bersabar sahaja. Malas pula hendak berbantah.

Kemudian, pada hari kedua pula, sekali lagi isteri aku pulang sambil senyum sipu. Jadi aku pun tanya,"hah, sekarang siapa pula yang puji?’’

"Oh, tadi masa nak melintas jalan, polis trafik hentikan semua kereta di lampu isyarat supaya kita boleh melintas.”

"Ala, itukan memang kerja polis trafik pun. Apa yang hendak dihai-rankan.”

"Memanglah hairan. Sebab masa tu lampu isyarat sedang hijau. Polis trafik itu berhentikan kereta, kemudian masa nak lintas itu, dia angkat topi tanda hormat. Beradab sungguh. Dekat Malaysia mana ada begitu,” kata isteri aku lagi.

Ah, aku tak boleh sabar lagi."Mungkin polis itu rasa kepalanya panas. Sebab itu dia ambil peluang angkat topi. Nak bagi sejuk kepala saja,” kata aku menjerit pula.

"Tak percayalah tu,” kata isteri. Aku diam saja. Kemudian isteri aku kata lagi,"Kalau tak percaya juga lagi? Nah, pagi tadi masa nak naik teksi, pemandu tu tolong bukakan pintu lagi. Tengok macam mana orang lelaki Itali layan orang perempuan.”

"Aku diam lagi. Oleh kerana rimas dengan puji-pujian isteri kepada lelaki-lelaki Itali ini yang dikatakan lebih tertib daripada orang Malaysia maka aku terus keluar."

Saya pula tersenyum dengar cerita kawan saya si Andrew ni. Saya kata kepadanya yang orang Itali ini memang begitu agaknya. Memang sudah menjadi kebiasaan mereka.

"Ya mungkin biasa. Tapi jangan dibandingkan dengan lelaki di Malaysia. Lelaki di Malaysia susah hendak jadi lelaki beradab. Nanti dituduh menggatal pula. Begitu juga kalau hendak melayani isteri secara mesra di tempat terbuka, mahu terbeliak mata yang memandang,” kata kawan saya yang agak fasih bahasa Melayu.

Kata Andrew lagi,"nanti kalau kau nak pergi melancong, jangan pergi Rom, Itali. Pergi sahaja Batang Kali. Nanti kau cemburu pula.”

Saya hanya ketawa kemudian berfikir, adakah sayangkan isteri tinggal-tinggalkan atau sayangkan isteri bawa sahaja ke mana-mana? Hebat peribahasa orang Melayu dulu-dulu.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, email beliau : mrfaisalmuhamad@gmail.com