Ikan kembung & rasuah RM140 juta

Iklan

*BAGI sebahagian besar rakyat, lebih-lebih lagi suri rumah yang saban hari ke pasar, semuanya sama seperti biasa. Dulu, kini dan selamanya, tidak ada perubahan.

Mereka bercakap mengenai harga barang keperluan hidup yang terus mahal, bertambah mahal dan tidak ada tanda-tanda akan turun.

Iklan
Iklan

Buang GST, ganti SST, barang tetap naik. Harga minyak turun, barang naik. Harga minyak naik, barang lagi naik.

Sawi, bayam, kangkung, cili, bawang, ikan bilis, kunyit, kelapa hatta serai dan daun pandan, saban hari naik, atas pelbagai alasan.

Iklan

Dan, siapa sangka ikan kembung @ ikan temenong yang dulu menjadi penanda aras kehidupan harian golongan bawahan, kini dijual pada harga RM15 per kilo?

Macam tidak ada siapa boleh bertindak mengawal harga! Kerajaan lama, kerajaan baharu, semua macam ‘buat dhek’. Harga terus naik, orang ramai terus mengeluh...

Iklan

*MAKA bermadahlah Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa Pemuda Umno akan menubuhkan sekretariat pemantauan harga barang bagi memantau harga barang di seluruh negara.

Sekretariat tersebut akan diketuai Ketua Pergerakan Pemuda di setiap negeri, dan akan membuat laporan menerusi media dan media sosial mengenai perkembangan harga barang asas.

Tambah Ketua Pemuda itu:"Kita akan memantau harga barang setiap bulan sehinggalah mereka (kerajaan) dapat menggariskan satu perancangan yang konkrit untuk rakyat dapat merasai kehidupan yang lebih selesa.”

Bunyinya sedap dan lunak menusuk kalbu. Jangan berharap sangat, sebab kita telah mendengar puisi lunak lagi meresap jiwa seperti ini sejak sekian lama... Tetapi tidak ada kesan pun!

*KETIKA rakyat biasa susah – ada yang kempunan! – hanya untuk makan ikan kembung, ada pula sesetengah orang sampai hati dan tergamak menghisap darah.

Contohnya Datuk Seri Abdul Azeez Rahim @ Anggota Parlimen Baling @ mantan Pengerusi Tabung Haji. Seperti pertuduhan di mahkamah, beliau terlibat dengan rasuah dan penggubalan wang haram, dengan jumlah keseluruhan RM144.6 juta.

Beliau dituduh antaranya menerima RM139.4 juta wang haram daripada beberapa syarikat, dan menerima rasuah RM5.2 juta untuk membantu sebuah syarikat mendapat projek kerajaan.

Mudah betul dia meminta duit, macamlah syarikat-syarikat berkenaan opah dia yang punya! Dia mengaku tidak bersalah, dan minta dibicarakan.

Bagi orang seperti Azeez, jangankan ikan kembung mata kuyu, kalau mahu dia boleh dapat ikan bermata berlian, bersisik emas, bertelur mutiara!

*BUKAN Azeez sahaja, pErihal hisap darah, songlap duit rakyat, dan tibai hak orang, sudah berleluasa sejak dulu lagi, oleh sesiapa sahaja, di mana-mana juga.

Seperti yang didedahkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kekayaan Negeri Bawah Bayu itu bernilai berbilion ringgit telah disakau oleh pemimpin korup sepanjang lebih 20 tahun BN berkuasa.

Kekayaan yang dibalun itu dalam pelbagai aspek termasuklah tanah, balak, kontrak, saham syarikat, hospital, bangunan, apa sahaja.

Kata Shafie pemimpin korup ini menggunakan pihak ketiga untuk menubuhkan syarikat dan melantik proksi bagi projek memewahkan diri mereka sendiri.

Baguslah perkara busuk selama 20 tahun itu didedahkan. Soalannya: Apakah yang korup lagi kurap itu akan dibiarkan? Jangan dedahkan sahaja, mereka wajib diheret ke muka pengadilan!

*SEKARANG musim orang buat U-turn. Terkini dikhabarkan enam orang Ahli Parlimen Umno yang keluar bulan lalu, akan kembali ke pangkuan parti lama.

Seperti dilaporkan mereka kembali semula kepada Umno kerana menerima tekanan undang-undang berikutan tindakan saman terhadap mereka.

Tetapi ada pula yang menafikan khabar tersebut sambil menegaskan sekali sudah keluar, mereka tidak akan masuk semula.

Pada saya sekiranya YB-YB berkenaan ada pendirian dan maruah, tidak perlu buat U-turn. Sekali melangkah jangan berundur dan hadapilah segala kemungkinan.

Kalau asyik sekejap masuk sekejap keluar, masuk semula, keluar semula, orang pun hilang keyakinan. Alang-alang bermain tunjukkanlah kejantanan sebenar.

Tetapi dalam politik bukan luar biasa orang boleh hilang kejantanan. Bila hilang kejantanan maka wujudlah kepondanan.

*AKHIR kalam, sehari dua ini menteri, timbalan menteri, pemimpin parti, dan macai-macai parti, semua turun ke Cameron Highlands.

Malah ada yang masuk ke perkampungan Orang Asli sambil bermesra dengan penduduk. Itu tandanya PRK menjelang tiba. Musim seperti inilah penduduk dikunjungi, kemudian ditinggalkan semula...