Polis siasat kes dera, liwat kanak-kanak di pusat kebajikan

Iklan
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes kanak-kanak yang dipercayai diliwat dan didera di sebuah rumah kebajikan. - GAMBAR HIASAN 123rf

GOMBAK – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes kanak-kanak yang dipercayai diliwat dan didera di sebuah rumah kebajikan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya telah mengambil keterangan sembilan kanak kanak berumur 13 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan.

Iklan
Iklan

"Manakala sembilan lagi kanak- kanak berusia dari umur 5-12 tahun akan dihantar ke Child Interview Center (CIC). Mangsa juga telah dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut,” katanyya melalui kenyataan media, hari ini.

Arifai berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita berusia 36 tahun yang memaklumkan telah terima panggilan telefon daripada orang ramai berikutan videonya mengenai rumah kebajikan itu tular di media sosial.

Iklan

"Video yang dirakam oleh wanita itu mengandungi hal-hal berkaitan penderaan dan penganiyaan kanak-kanak di sebuah rumah kebajikan itu. Tujuan dia merakam video itu adalah untuk ditunjukkan kepada ibu bapa kanak-kanak dan dihantar kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk tindakan lanjut.

"Wanita itu mendakwa pernah tinggal di rumah kebajikan tersebut selama dua minggu, dia mendakwa kanak-kanak di rumah itu dipaksa membuat sampul duit raya.

Iklan

"Mereka akan dipukul dengan menggunakan kayu jika enggan bekerja. Beberapa kanak-kanak lelaki dikatakan pernah diliwat oleh anak saudara kepada pemilik rumah kebajikan tersebut,” katanya.

Arifai berkata, seorang wanita berusia 44 tahun yang merupakan pemilik rumah kebajikan itu juga telah membuat laporan polis.

"Dia mendakwa sekumpulan individu dipercayai wakil NGO telah menyerbu masuk ke dalam rumah kebajikan dan mengeluarkan kata-kata ugutan dan cuba mengambil kanak-kanak di rumah itu pada jam 2 petang, semalam,” katanya.

Arifai memaklumkan kes itu masih dalam siasatan dan pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang isu ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan Seksyen 447/506 Kanun Keseksaan.