Lapan pengantin nikah serentak

Iklan
Lapan pasangan selamat diijab kabul serentak dalam satu Majlis Nikah Perdana anjuran Jais di Cyberjaya, hari ini.
CYBERJAYA – Lapan pasangan pengantin selamat diijabkabulkan serentak dalam satu Majlis Nikah Perdana anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Raja Haji Fisabilillah di sini, hari ini.

Majlis dimulakan kira-kira jam 10 pagi dengan khutbah nikah sebelum setiap pasangan dinikahkan secara serentak oleh jurunikah masing-masing.

Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan, berkata, majlis berkenaan adalah penganjuran bagi tahun ketiga dan bagi tahun ini kira-kira 50 pasangan telah dinikahkan dalam majlis seumpama itu di daerah tertentu.

"Pada hari ini juga majlis nikah perdana turut diadakan di Klang. Setiap pasangan hanya perlu membayar RM1,500 sahaja dan seramai 50 ahli keluarga boleh turut serta dalam majlis ini yang turut menyediakan jamuan makan, pelamin serta kek.

"Istimewanya, pada hari ini semua pasangan akan peroleh sijil pernikahan yang biasanya mengambil masa tujuh hari untuk dikeluarkan,” katanya ditemui selepas majlis tersebut, hari ini.

Tambah Salwana, majlis seumpama itu akan diteruskan sebagai acara tahunan dan Jais sentiasa mengalu-alukan penyertaan daripada warga Selangor bagi memudahkan urusan perkahwinan.

"Sesiapa sahaja boleh mendapat manfaat daripada program ini tanpa syarat. Malah, kami juga pernah mendapat penyertaan perkahwinan poligami dengan izin,” katanya.

Sementara itu, salah seorang mempelai, Izatur Shakira Zamri, 24, berkata, dia memang merancang untuk melangsungkan hari pernikahan dan perkahwinan konsep beramai-ramai kerana mahu suasana lebih meriah.

"Saya tinggal di Damansara, jadi mungkin saudara mara tidak ramai. Jadi saya memang cari majlis nikah begini dan dipermudahkan,” katanya.

Bagi seorang lagi peserta, Rokib Abdullah, 28, berkata, dia mengetahui insentif program berkenaan ketika menghadiri majlis seumpama itu di Selayang.

"Jadi saya cuba dapatkan maklumat lanjut. Alhamdulillah rancangan untuk nikah pada tahun ini dipermudahkan dan dicepatkan sebulan,” katanya.