Hukuman ke atas timbalan menteri bukan bersifat dwi standard

Iklan
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (tengah) dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria (kiri) -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Hukuman yang dikenakan terhadap dua kenamaan iaitu Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu majlis di Lenggong, perak bukan bersifat dwi standard.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana mereka berdua melanggar peraturan di bawah standard operasi prosedur (SOP) dan bukan PKP.

Iklan
Iklan

"Seperti saya nyatakan sebelum ini wakil rakyat merupakan individu yang dibenarkan bertugas sewaktu PKP. Tentu sahaja mereka bebas bergerak untuk memberikan bantuan dan menjaga kebajikan pengundi di kawasannya.

"Mungkin daripada amalan penjarakan sosial itu mereka tidak patuhi dan dikenakan tindakan. Tindakan yang dikenakan ke atas mereka ini di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) di mana denda maksimum ialah RM1,000," katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Iklan

Semalam, Dr Noor Azmi dan Razman didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik selepas mengaku salah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu majlis di Lenggong, minggu lalu.

Dr Noor Azmi, 59, dan Razman, 60, membuat pengakuan itu bersama 13 individu lain termasuk adik kepada Timbalan Menteri Kesihatan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norhidayati Mohammad Nasroh.

Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua dituduh didakwa dengan niat secara bersama telah berhimpun di dalam kawasan tempatan jangkitan bagi maksud sosial di sebuah maahad tahfiz di Kampung Luat, Lenggong di sini antara jam 6 hingga 7 petang, 17 April lalu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, ramai pihak membandingkan hukuman yang dikenakan ke atas dua kenamaan tersebut dengan rakyat biasa yang melanggar PKP di hukum penjara."Seperti saya jelaskan sebelum ini, tiada sesiap boleh mengatasi undang-undang dan kerajaan bersikap adil. Sesiapa yang melanggar peraturan akan diambil tindakan tanpa mengira sebarang kedudukan.

"Ada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh rakyat sehingga dipenjarakan bukan kerana melanggar PKP semata-mata sebaliknya turut didakwa di bawah Kanun Keseksaan. Sebagai contoh ada individu ingkar PKP ini mengeluarkan kata-kata kesat, melawan polis dan melanggar sekatan jalan raya. Ia kesalahan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya.