KOTA KINABALU - Penantian rakyat Pantai Timur Sabah untuk mendapat semula bekalan elektrik yang stabil berakhir, selepas kerja pemulihan menara penghantaran elektrik berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau dimaklumkan pasukan Sabah Electricity telah berjaya menyiapkan pembinaan Emergency Restoration System (ERS) dan menyambung kesemua konduktor bagi kerja-kerja pemulihan talian penghantaran elektrik yang terjejas di Pantai Timur Sabah.
"Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa pasukan Sabah Electricity telah berjaya menyiapkan pembinaan Emergency Restoration System (ERS) serta menyambung kesemua konduktor bagi kerja-kerja pemulihan talian penghantaran elektrik yang terjejas di Pantai Timur Sabah.
"Lebih penting, kerja-kerja tersebut berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan," katanya dalam hantaran di Facebook pada petang Ahad.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Sabah Electricity atas komitmen, kesungguhan dan pengorbanan warga Sabah Electricity dalam melaksanakan kerja-kerja pemulihan tersebut.
"Kerajaan negeri memahami kesulitan yang dialami rakyat sepanjang tempoh gangguan bekalan elektrik ini.
"Terima kasih kepada seluruh rakyat yang terjejas atas kesabaran, sokongan dan kerjasama sepanjang usaha pemulihan dilaksanakan.
"Saya turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pihak yang terlibat dalam membantu usaha pemulihan ini, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Air Aviation Sdn Bhd, pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Sagindai Baru serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah atas segala bantuan, kerjasama dan sokongan yang diberikan," katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Sabah Electricity bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah lebih stabil, selamat dan boleh dipercayai demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri.
Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar memaklumkan kerja-kerja mendirikan menara ERS telah berjaya disiapkan dan operasi merentang kabel konduktor diteruskan pada Ahad.
Menurutnya, bekalan elektrik dijangka dapat dipulihkan pada Ahad, jika kerja-kerja pemulihan itu berjalan lancar.
Dalam kejadian Khamis lalu, menara penghantaran elektrik runtuh dan menyebabkan penduduk di lapan daerah di Pantai Timur Sabah terjejas.