Lalui jambatan gantung, angkut bahan manual demi pulih bekalan elektrik

Iklan
Warga kerja Sabah Electricity terpaksa berulang alik melalui jambatan gantung untuk membawa bahan untuk binaan semula menara penghantar elektrik di Kampung Sagindai, Ranau.

RANAU - Terpaksa merentas jambatan gantung sepanjang kira-kira 100 meter di atas Sungai Liwagu sebelum berjalan kaki sejauh 500 meter melalui kebun getah berlumpur antara cabaran yang perlu ditempuh warga kerja Sabah Electricity termasuk kontraktor dalam usaha membina semula menara penghantar elektrik yang runtuh pada Khamis lalu di Kampung Sagindai di sini.

Laluan yang sempit dan terhad itu bukan sahaja menguji ketahanan fizikal warga kerja, malah menyukarkan pergerakan bahan binaan serta penggunaan jentera berat bagi mempercepatkan kerja-kerja pemulihan selepas menara berkenaan tumbang akibat hakisan tebing sungai tersebut.

Iklan
Iklan

Keadaan itu menyebabkan sebahagian kerja terpaksa dilakukan secara manual, termasuk mengangkut bahan dan peralatan merentasi jambatan gantung yang hanya mampu dilalui beberapa orang pada satu-satu masa.

Pengurus Besar Penyelenggaraan Aset Penghantaran Sabah Electricity, Ir Ts Mohammad Fauzi Awang berkata, laluan berkenaan menjadi antara cabaran utama memandangkan akses ke tapak kerja hanya boleh dilakukan melalui jambatan kampung.

Iklan

Katanya, bahan dan komponen berat bagi pembinaan menara kecemasan Emergency Restoration System (ERS) terpaksa dihantar menggunakan helikopter dengan bantuan Sabah Air, manakala bahan bersaiz kecil dibawa pekerja secara berulang-alik melalui jambatan berkenaan.

"Untuk laluan, bahan-bahan yang berat itu kita perlu angkat ke tempat kerja kerana kita hanya ada laluan melalui jambatan kampung.

Iklan

"Jadi, kita mendapat khidmat bantuan daripada Sabah Air untuk mengangkat bahan berat menggunakan helikopter.

"Bagi material yang kecil pula, kita menggunakan tenaga kerja untuk mengangkutnya melalui jambatan," katanya ketika memberikan taklimat kepada media di pusat gerakan tapak pembinaan semula menara berkenaan pada Ahad.

Fauzi ketika memberi taklimat kepada media di pusat Gerakan tapak pembinaan semula menara di Kampung Sagindai, Ranau.

Menurutnya, jambatan gantung itu hanya boleh dilalui empat orang pada satu-satu masa, namun jumlah berkenaan dihadkan kepada dua orang sekiranya mereka membawa barangan atau peralatan.

"Kalau satu kali perjalanan, hanya empat orang boleh lalu. Tetapi kalau membawa barang, kita hadkan kepada dua orang sahaja," katanya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pekerja perlu berulang-alik dari pusat gerakan ke kawasan menara bagi membawa masuk bahan dan peralatan yang diperlukan.

Menurutnya lagi, antara bahan yang perlu dibawa masuk termasuk komponen menara sementara ERS yang digunakan bagi menggantikan struktur asal, khususnya bahagian tiang utama atau column.

Keadaan tapak yang tidak sesuai untuk penempatan jentera berat turut menyebabkan kerja pembinaan perlu disesuaikan dengan keadaan muka bumi, selain mengutamakan kaedah manual bagi kerja yang tidak dapat dilakukan menggunakan mesin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata, cabaran di Kampung Sagindai berbeza berbanding kerja pemulihan menara di Penampang sebelum ini, terutama dari segi akses ke kawasan pembinaan dan keadaan tanah.

Katanya, perancangan awal untuk mendirikan menara di seberang sungai terpaksa diubah selepas pemeriksaan mendapati keadaan tanah di kawasan berkenaan tidak stabil dan berisiko menyebabkan struktur yang dipacak tenggelam.

"Untuk menyeberang, kita perlu melalui jambatan gantung dan jentera kita tidak dapat masuk.

Mohd Yaakob ketika ditemui pemberita di lokasi pembinaan semula menara penghantaran elektrik di Kampung Sagindai, Ranau.

Beliau berkata, keadaan itu memerlukan pekerja mencari kaedah alternatif bagi membawa kabel merentasi sungai, termasuk menggunakan tenaga manusia untuk menarik tali pandu (pilot wire) dengan memanfaatkan satu konduktor yang masih bersambung.

Menurutnya, usaha berkenaan turut dibantu oleh pasukan bomba, namun keadaan arus sungai yang deras menyukarkan kerja menyeberangkan konduktor, sekali gus memerlukan perancangan teliti bagi memastikan keselamatan pekerja dan kelancaran operasi.

Mohd Yaakob berkata, faktor cuaca yang baik turut membantu mempercepatkan kerja, meskipun warga kerja terpaksa melanjutkan operasi sehingga jam 10 malam pada hari sebelumnya.

Bagaimanapun, kerja-kerja merentang kabel atau stringing tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa pada waktu malam kerana pekerja perlu memastikan keadaan kabel dapat dipantau dari satu hujung ke hujung yang lain.

Seramai 148 warga kerja termasuk 64 kakitangan Sabah Electricity dan 84 pekerja kontraktor terlibat dalam operasi pemulihan berkenaan, dengan usaha membina menara kecemasan ERS dan menyambungkan semula talian penghantar elektrik dilaksanakan secara berperingkat.

Di sebalik keterbatasan akses dan pelbagai cabaran di tapak, usaha itu akhirnya menghampiri fasa penyambungan semula talian yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Sandakan.

Ini sekali gus memberi harapan kepada lebih 150,000 pengguna berdaftar di lapan daerah Pantai Timur Sabah untuk kembali menikmati bekalan elektrik seperti biasa selepas mengalami gangguan sejak empat hari lalu.

Sebelum itu, wartawan Sinar Harian antara 20 petugas media yang dibawa oleh Sabah Electricity untuk melihat sendiri kerja-kerja pemulihan menara tersebut yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Kota Kinabalu.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, menara penghantaran elektrik runtuh dan menyebabkan penduduk di lapan daerah di Pantai Timur Sabah terjejas.