PASIR PUTEH - Daripada penerima zakat kepada pembayar zakat, itulah perubahan yang mahu direalisasikan Agrobank menerusi program penghasilan baja organik yang membuka peluang pekerjaan dan pendapatan sehingga RM4,000 sebulan kepada golongan asnaf dan B40.
Menerusi Program Hijrah Asnaf Penghasilan Baja Organik, seramai 10 peserta di sini akan diberi latihan kemahiran selama setahun bermula Disember ini bagi membolehkan mereka menguasai bidang pengeluaran, kawalan kualiti serta pemasaran baja bio-organik.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program berkenaan menyasarkan peserta memperoleh pendapatan tetap antara RM3,500 hingga RM4,000 sebulan, selain berpotensi menikmati keuntungan tambahan hasil jualan baja yang dihasilkan.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, sebaliknya membina keupayaan peserta untuk berdikari dan keluar daripada kategori penerima zakat kepada golongan yang mampu membayar zakat.
"Hasrat kita adalah untuk membangunkan golongan asnaf supaya mereka dapat keluar daripada kelompok penerima zakat, mempunyai pendapatan tetap dan akhirnya menjadi pembayar zakat.
"Kita mahu mereka mempunyai kemahiran yang boleh digunakan untuk membina kerjaya dalam industri pengeluaran baja atau mengusahakan perniagaan sendiri," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Sebelum itu beliau hadir pada Majlis Perasmian Program Hijrah Asnaf Penghasilan Baja Organik di
MSR Growth Sdn Bhd, Kampung Haji Wan Omar, Tok Bali di sini yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Syariah Agrobank, Wan Rumaizi Wan Husin @ Abdul Aziz.
Hadir sama ialah Pengarah MSR Growth Sdn Bhd, Muhammad Saifullah Ramli.
Program berkenaan melibatkan peruntukan RM637,108 menerusi dana zakat dan wakalah Agrobank serta dana padanan iTEKAD Bank Negara Malaysia bagi membiayai latihan, bahan pengeluaran dan pembangunan kapasiti peserta.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata, peserta bukan sahaja akan mempelajari teknik menghasilkan baja berdasarkan kesesuaian struktur tanah, malah turut didedahkan dengan proses mengenal pasti keperluan tanah, kawalan kualiti dan pemasaran produk kepada petani.
Menurut beliau, latihan teknikal akan dikendalikan MSR Growth Sdn Bhd selaku syarikat peneraju, manakala Agrobank Centre of Excellence (ACE) memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah, pemikiran keusahawanan, pengurusan kewangan dan pemasaran.
"Peserta akan dilatih bermula daripada proses mengambil sampel tanah, mengenal pasti jenis baja yang bersesuaian sehinggalah menghasilkan produk untuk dipasarkan kepada petani.
"Mereka bukan sekadar belajar menghasilkan baja, tetapi turut memahami bagaimana produk itu boleh dipasarkan dan menjadi sumber pendapatan," katanya.
Ujar beliau, selepas tamat tempoh latihan setahun, peserta mempunyai dua pilihan sama ada diserap bekerja di fasiliti pengeluaran syarikat peneraju atau menggunakan kemahiran diperoleh untuk memulakan perniagaan penghasilan dan penjualan baja sendiri.
Katanya, selain latihan dan peluang pekerjaan, peserta turut menerima elaun sara hidup bagi tiga bulan pertama serta perlindungan Skim Takaful Kasih sepanjang program.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Program Hijrah Asnaf Penghasilan Baja Organik itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Agrobank iTEKAD Employment yang menyasarkan pembangunan kapasiti dan penempatan pekerjaan kepada lebih 300 peserta asnaf serta B40 di seluruh negara melibatkan peruntukan dana berjumlah RM12 juta.
Katanya, sebahagian besar peserta inisiatif berkenaan terdiri daripada golongan muda yang diberi keutamaan untuk dibangunkan sebagai agropreneur menerusi kerjasama strategik dengan agensi berkaitan.