KUANTAN - Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menerima Ijazah Sarjana Sastera dalam Pemikiran dan Tamadun Islam pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-42 di Kuala Lumpur.
Baginda turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi program pengajian berkenaan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di Facebook merafak sembah tahniah atas kejayaan baginda yang disifatkan sebagai pencapaian membanggakan serta membuktikan bahawa ilmu perlu dituntut sepanjang hayat tanpa mengira usia dan batasan.
"Semoga kejayaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku menjadi inspirasi dan kebanggaan seluruh rakyat jelata, khususnya dalam menyemarakkan budaya ilmu, menyuburkan kecintaan terhadap pendidikan serta mendorong generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan," katanya.
Majlis Kesultanan Pahang (MKP) menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang turut merafak sembah ucapan tahniah kepada Tengku Ampuan Pahang atas kejayaan memperoleh ijazah sarjana serta Anugerah Pelajar Terbaik itu.
Menurut hantaran berkenaan, kejayaan baginda merupakan pencapaian amat membanggakan yang menjadi inspirasi kepada warga MKP dan masyarakat untuk terus menuntut ilmu, memperkasakan pemikiran serta mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
"Patik sekalian mendoakan agar pencapaian akademik baginda menjadi sumber inspirasi serta terus menyumbang kepada perkembangan ilmu dan pemikiran, khususnya dalam kalangan masyarakat Dunia Islam dan Dunia Melayu.
"Semoga segala ilmu dan hasil kajian baginda memberi manfaat berpanjangan serta menjadi sumbangan bermakna kepada ummah,” menurut hantaran itu. - Bernama