KEMENTERIAN Digital menyasarkan sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 30 peratus menjelang 2030 menerusi Pelan Strategik Kementerian Digital (PSKD) 2026-2030.
Sasaran itu antara lima matlamat strategik yang ditetapkan kementerian bagi tempoh lima tahun akan datang, selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem digital negara serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam ekonomi digital global.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Malaysia juga disasarkan berada dalam kelompok 20 negara teratas dunia berdasarkan Indeks Pembangunan Kerajaan Elektronik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN EGDI).
“Salain itu kementeerian turut menetapkan sasaran meletakkan negara dalam kelompok 10 negara teratas dari aspek kesediaan kecerdasan buatan (AI) dan kedudukan 25 teratas dunia dalam penilaian International Institute for Management Development (IMD) World Digital and AI.
“Satu lagi sasaran ialah mencapai sekurang-kurangnya 85 peratus kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan digital kerajaan menjelang tempoh sama,” katanya ketika berucap merasmikan PSKD 2026-2030 baru-baru ini.
Gobind berkata, pelan strategik tersebut menetapkan visi kementerian sebagai Peneraju Agenda Pendigitalan Negara dengan misi memperkukuh ekosistem digital yang inklusif, teguh dan berdaya saing di peringkat global.
Jelas beliau, ia dibangunkan selari dengan kerangka Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) dengan mengambil kira perkembangan teknologi digital khususnya kecerdasan buatan serta keperluan memperkukuh daya saing negara.
“Bagi mencapai sasaran ditetapkan, PSKD 2026-2030 digerakkan menerusi lima teras strategik iaitu Kerajaan Digital, Ekonomi Digital, Masyarakat Digital, Kepercayaan Ekosistem Digital dan Tadbir Urus Digital.
“Teras Kerajaan Digital memberi tumpuan kepada pendigitalan perkhidmatan kerajaan, integrasi sistem dan perkongsian data bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam,” ujarnya.
Tambhanya, Teras Ekonomi Digital pula merangkumi pembangunan infrastruktur digital, peningkatan pelaburan, inovasi teknologi serta pembangunan industri bagi memperkukuh daya saing ekonomi negara.
Katanya lagi, tiga teras lain memberi penekanan kepada peningkatan literasi dan kemahiran digital rakyat, keselamatan siber serta perlindungan data peribadi, selain pengukuhan dasar dan penyelarasan institusi berkaitan pendigitalan.
“Pelaksanaan pelan berkenaan menggunakan pendekatan Whole-of-Government yang menekankan kerjasama dan penyelarasan dasar merentas kementerian, agensi serta pihak berkepentingan.
“Setiap teras strategik akan diterjemahkan melalui pelan tindakan yang memperincikan inisiatif, aktiviti, petunjuk prestasi utama (KPI), sasaran pencapaian, agensi peneraju dan pelaksana serta tempoh masa ditetapkan,” kata Gobind.