MALANG - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun maut selepas dipercayai diserang sekumpulan remaja dalam kejadian di Malang, Jawa Timur, Indonesia.
Mangsa, Silva Nur Intania Putri merupakan pelajar Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 7 Malang dijemput dua remaja perempuan dari rumahnya sebelum dibawa ke kawasan Perumahan Bulan Terang Utama pada malam Rabu lalu.
Menurut laporan media tempatan, Silva dan sekumpulan remaja bertengkar sebelum dia dipukul pada bahagian kepala dan ditendang sehingga jatuh tersungkur.
Silva kemudiannya didapati tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Lavalette untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, pihak hospital mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Jenazah Silva kemudian dibawa ke Hospital Dr Saiful Anwar untuk menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.
Serangan itu dipercayai berpunca dengan pertikaian peribadi termasuk dakwaan berebut teman lelaki, namun pihak berkuasa masih menyiasat motif sebenar kejadian.
Polis Kota Malang kini menjalankan siasatan dengan memanggil beberapa individu termasuk empat remaja perempuan yang kesemuanya masih bawah umur.
Keluarga Silva yang terkejut dengan kejadian itu berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbukti terlibat dalam kematian mangsa. Kes berkenaan turut mendapat perhatian ramai selepas kisahnya tular di media sosial. - Agensi