TIGA tahun konflik bersenjata di Sudan telah mengubah kehidupan jutaan penduduk menjadi perjuangan untuk terus hidup.
Rumah musnah, keluarga terpisah dan kampung halaman terpaksa ditinggalkan apabila pertempuran antara tentera Sudan (SAF) dengan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) terus meragut nyawa serta memusnahkan kemudahan asas.
Darfur antara wilayah paling teruk terjejas, menyaksikan penduduk melarikan diri dalam keadaan serba kekurangan demi mencari perlindungan.
Di sebalik angka jutaan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, tersimpan kisah manusia yang jarang mendapat perhatian dunia.
Wanita mendukung anak kecil merentasi sempadan, kanak-kanak membesar dalam khemah pelarian manakala keluarga terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan air bersih dan bekalan makanan.
Di seberang sempadan, wilayah Chad menjadi tempat perlindungan sementara buat ribuan keluarga Sudan yang terpaksa meninggalkan segala-galanya demi keselamatan.
Ketika perhatian antarabangsa silih berganti tertumpu kepada pelbagai krisis geopolitik, penderitaan rakyat Sudan masih berterusan tanpa kepastian penghujungnya.
Foto esei ini merakam sisi kemanusiaan di sebalik konflik yang berpanjangan.
Wajah-wajah yang kehilangan tempat bergantung, kehidupan yang dibina semula dalam serba kekurangan dan harapan kecil untuk kembali menikmati keamanan.
Ini bukan sekadar kisah peperangan, tetapi tentang manusia yang sedang berjuang agar tidak dilupakan dunia.