SEBERANG JAYA – Sebanyak RM984,644.80 diagihkan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi pembangunan usahawan dalam kalangan asnaf miskin pada 2025, melibatkan 264 penerima manfaat.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, daripada jumlah itu, RM920,253 disalurkan menerusi Skim Modal dan Peralatan Perniagaan manakala RM64,391.80 bagi pelaksanaan Kursus Persediaan Usahawan Asnaf.
Menurutnya, usaha berkenaan merupakan antara pendekatan institusi zakat dalam menyediakan peluang ekonomi kepada golongan asnaf khususnya bagi membantu mereka membina sumber pendapatan sendiri, meningkatkan taraf kehidupan serta mengembangkan perniagaan secara mampan.
Beliau berkata, bantuan yang disalurkan perlu disertai bimbingan, peluang dan kesungguhan penerima supaya manfaatnya dapat diterjemahkan kepada perubahan sebenar dalam kehidupan mereka.
“Perkara lebih penting adalah memastikan bantuan yang disalurkan mampu meningkatkan keupayaan penerima untuk membina perniagaan yang berdaya saing dan menjana pendapatan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Usahawan dan Alumni Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Zakat MAINPP 2026 di The Light Hotel, di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, kira-kira 600 pelajar daripada golongan asnaf menerima tajaan menerusi Program Tajaan Pelatih dan Profesional Zakat MAINPP sejak program itu dimulakan pada 2018 hingga 2026.
Tambahnya, untuk 2025 sahaja, sebanyak RM1.12 juta diagihkan menerusi program tajaan pendidikan dan latihan kemahiran melibatkan 109 penerima manfaat di pelbagai institusi pendidikan serta pusat latihan terpilih.
Mohamad berkata, komitmen berkenaan diteruskan pada 2026 melalui kerjasama strategik dengan pelbagai institusi latihan kemahiran.
"Antaranya Penang Skills Development Centre (PSDC) dalam bidang automasi industri dan mekatronik, Akademi Binaan Malaysia (ABM) bagi pengendalian jentera berat, KHTP Skills Centre dalam teknologi pemesinan Computer Numerical Control (CNC) serta The Welding Institute (TWI) dalam bidang kimpalan," katanya.
Menurutnya, hasil pelaksanaan program berkenaan, terdapat pelatih yang berjaya memperoleh pekerjaan dalam sektor berkemahiran tinggi dengan pendapatan antara RM3,200 hingga RM5,300 malah ada yang menerima tawaran pekerjaan dalam industri kejuruteraan di Singapura dengan pendapatan RM7,000.
Beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, pencapaian itu membuktikan TVET merupakan laluan strategik dalam meningkatkan mobiliti sosial serta ekonomi golongan asnaf sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk menjadi tenaga kerja mahir dan profesional.
Katanya, persepsi bahawa TVET merupakan pilihan kedua dalam pendidikan perlu diubah memandangkan kemahiran teknikal semakin penting dalam pembangunan tenaga kerja khususnya dalam ekonomi yang dipacu teknologi, automasi dan perkembangan industri.
“Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang mempunyai ekosistem perindustrian kukuh khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik, semikonduktor, pembuatan, teknologi serta kejuruteraan menyediakan ruang yang luas kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran,” katanya.
Pengerusi Zakat MAINPP itu menambah, kerjasama antara institusi zakat, pusat latihan kemahiran dan pihak industri perlu terus diperkukuh bagi memastikan program tajaan yang dilaksanakan sentiasa relevan dengan permintaan pasaran pekerjaan, perkembangan teknologi serta keperluan tenaga kerja masa hadapan.
"Usaha pembangunan usahawan dan TVET itu turut selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang menggariskan lima teras utama, 14 strategi dan 70 pelan tindakan.
"Lima teras berkenaan merangkumi pembangunan sosioekonomi, pendidikan, keluarga, anak muda serta dakwah dan tarbiah," ujarnya.
Menurut beliau, agenda pembangunan asnaf mempunyai kaitan rapat dengan pembangunan negeri secara keseluruhan kerana peningkatan pendapatan melalui pekerjaan atau perniagaan bukan sahaja memberi manfaat kepada individu malah turut membantu keluarga menikmati kehidupan lebih sejahtera.
“Kita mahu lebih ramai anak asnaf menjadi tenaga kerja mahir dan profesional, lebih ramai usahawan asnaf membina perusahaan yang berdaya saing, lebih banyak keluarga berjaya meningkatkan taraf kehidupan dan lebih ramai mustahik berupaya menjadi muzakki.
“Kejayaan sebenar institusi zakat adalah apabila amanah yang ditunaikan oleh seorang muzakki mampu membuka jalan kepada lahirnya muzakki yang baharu seterusnya memberikan manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.