Lebih 1.8 tan dadah dipintas di tiga lapangan terbang - MAHB

Iklan

SEPANG – Lebih 1.8 tan disyaki dadah berjaya dipintas di tiga lapangan terbang negara menerusi pemeriksaan rutin penumpang dan bagasi oleh pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dari Januari hingga November tahun ini.

Malaysia Airports (MAHB) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, sebanyak 63 kes cubaan penyeludupan dadah dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh dalam tempoh berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dadah jenis ganja menyumbang kira-kira 97 peratus daripada keseluruhan berat dadah yang dirampas menerusi pengesanan awal AVSEC.

"Kebanyakan kes berkenaan dikesan ketika pemeriksaan bagasi daftar masuk di Terminal 1 KLIA," katanya.

Iklan

Ujar pihak berkuasa lapangan terbang itu, kesemua kes yang dipintas diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

Tambah MAHB, pemeriksaan rutin penumpang dan bagasi turut membawa kepada penemuan 16 kes berkaitan hidupan liar yang dipintas di kedua-dua terminal KLIA antara Februari hingga September tahun ini.

Iklan

"Dua konsainan mengandungi lebih 4,400 ekor kura-kura yang telah dimuatkan ke dalam pesawat berjaya dipintas oleh pegawai AVSEC pada 16 Jun lalu, selain terdapat kes melibatkan penyu, ungka dan burung," katanya.

Pada 11 November lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Hussein Omar Khan menyampaikan surat penghargaan kepada 80 pegawai AVSEC KLIA sebagai pengiktirafan terhadap tugas mereka.

Bagi memperkukuh pengesanan dadah di KLIA, MAHB sebelum ini mengumumkan bahawa unit anjing pengesan K9 daripada PDRM dan JKDM dijadual memulakan operasi perintis di dalam terminal pada 26 Oktober lalu.

Unit berkenaan akan melengkapi pemeriksaan sedia ada terhadap penumpang dan bagasi, dengan Malaysia Airports menyelaraskan pengaturan penugasan di KLIA.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pegawai AVSEC memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan pintu masuk negara.

“Pertimbangan mereka pada saat-saat sebelum pesawat berlepas boleh menentukan sama ada cubaan penyeludupan yang disyaki dapat dihentikan ketika pihak berkuasa masih mempunyai peluang untuk bertindak.

“Sama ada pegawai berdepan dadah yang disyaki atau haiwan hidup, peranan mereka adalah untuk bertindak pantas dan membawa masuk agensi yang mempunyai kuasa serta kepakaran bagi mengendalikan kes berkenaan," tegas beliau.

Mohd Izani berkata, MAHB turut memperluas usaha pengesanan penyeludupan hidupan liar menerusi kerjasama dengan Traffic International Southeast Asia.

Latihan diberikan kepada pegawai AVSEC, kakitangan operasi lapangan terbang dan pengendali darat bagi membantu mereka mengenal pasti tanda-tanda kemungkinan penyeludupan hidupan liar serta mengetahui bila dan bagaimana perkara itu perlu dilaporkan.