SHAH ALAM - Cadangan mewajibkan pelantikan eksekutif dan juruaudit halal bagi setiap syarikat terlibat dalam industri makanan antara perkara yang boleh dipertimbangkan bagi mengelak kontroversi pusat penyembelihan ayam menyalahi syarak berulang.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Nurzahidah Jaapar berkata, perkara itu wajar dikaji secara menyeluruh bagi memperkukuh integriti dan pematuhan terhadap standard halal negara
Menurutnya, keperluan sedia ada menerusi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 sudah menetapkan pelantikan pegawai berkaitan mengikut skim dan saiz industri.
Jelasnya, bagi skim rumah sembelihan, pengusaha bersaiz besar dan sederhana perlu melantik Eksekutif Halal di setiap cawangan, manakala pengusaha kecil pula perlu melantik Penyelia Halal.
"Selain itu, kedua-duanya memerlukan pemeriksa halal sepanjang operasi atau syif.
"Justeru, saya melihat cadangan itu relevan, tetapi belum terdapat asas yang cukup untuk mewajibkan kedua-dua jawatan berkenaan secara menyeluruh," katanya kepada Sinar Harian.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sebuah syarikat pembekal ayam, pengarahnya serta dua individu lain didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat perakuan palsu berhubung status halal produk kepada orang ramai.
Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn Bhd; pengarahnya, Zarifah Karim dan Tanjena Akter Mollah, serta pengurus, Hossain Saddam masing-masing dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
Seorang lagi individu, Abdul Rahim Ariff Ali, dituduh bersubahat dengan syarikat itu, Zarifah, Tanjena dan Hossain dalam melakukan kesalahan tersebut.
Sementara itu, seorang Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam, Dr Nur Farhani Zarmani berkata, pelantikan eksekutif halal dan juruaudit halal mempunyai fungsi berbeza yang saling melengkapi dalam memastikan pematuhan standard halal.
Beliau menjelaskan, eksekutif halal berperanan memantau operasi harian dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku ketidakpatuhan, manakala juruaudit pula bertanggungjawab menyemak keberkesanan prosedur serta memastikan setiap keputusan direkodkan dengan betul.
"Pegawai tetap boleh bertindak segera kerana dekat dengan operasi. Juruaudit luar pula boleh memberi semakan yang lebih bebas, tetapi hanya melihat operasi pada waktu tertentu," katanya.
Menurutnya, Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 juga membenarkan pihak ketiga yang berkelayakan menjalankan audit dalaman apabila diperlukan.
Justeru, sebelum mewajibkan setiap syarikat mempunyai juruaudit halal tetap, kerajaan perlu meneliti masalah sebenar yang ingin diselesaikan menerusi pelantikan jawatan berkenaan, termasuk mekanisme memastikan setiap penemuan audit diambil tindakan.
Mengulas keperluan dasar lebih menyeluruh, Nur Farhani berkata, pendekatan itu wajar dipertimbangkan, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira risiko dalam keseluruhan rantaian bekalan makanan.
Katanya, sekiranya pemeriksaan hanya dilakukan ketika permohonan atau pembaharuan sijil, syarikat yang sudah berada dalam sistem mungkin terus diperiksa, sedangkan premis di luar sistem berisiko terlepas daripada pemantauan.
"Saiz syarikat sahaja kurang memadai untuk mengukur kesannya kepada pengguna. Sebuah rumah sembelihan kecil, misalnya, boleh membekalkan ayam kepada puluhan kedai.
"Kerajaan boleh menguji beberapa pilihan dalam rantaian bekalan ayam terlebih dahulu, termasuk pelantikan pegawai, pemeriksaan premis dan semakan sumber oleh pembeli," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengemukakan beberapa langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden sama berulang, antaranya memastikan pemborong menyemak status premis sembelihan serta kesahihan sijil sebelum menerima bekalan sebagai produk halal.
Katanya, rekod invois orang tengah juga perlu dipadankan dengan rekod penghantaran bagi membolehkan sumber bekalan dikenal pasti dengan jelas.
Selain itu, beliau berkata, pihak berkuasa halal, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga perlu memperkukuh kerjasama dengan menggunakan rekod pembelian bagi mengenal pasti premis yang perlu diperiksa.
Nur Farhani turut mencadangkan supaya audit melibatkan ujian terhadap satu penghantaran sebenar bagi memastikan syarikat mampu menunjukkan lokasi penyembelihan, individu yang meluluskan penghantaran serta pihak yang mempunyai kuasa untuk menahannya sekiranya berlaku percanggahan rekod.
"Jika syarikat hanya boleh menjawab selepas ayam sampai ke kedai, semakan itu berlaku terlalu lewat untuk melindungi pembeli.
"Pendekatan ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 16 yang menekankan kepentingan institusi berkesan dan bertanggungjawab," katanya.