SEGAMAT – Seorang guru takmir daerah Segamat yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejurus selesai menyampaikan kuliah Maghrib malam Rabu ditemukan meninggal dunia apabila kereta yang dipandunya terbabas ke dalam sungai berhampiran Ladang Mados di sini pada pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Jumazanzahir Chek Ismail, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Axia yang dipandu mangsa, Ustaz Hamdi Abdul Razab, 34, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam Sungai Anak Sungai Kapeh.
"Mangsa tidak mengalami kecederaan luaran, namun dipercayai meninggal dunia akibat lemas di sungai berkenaan," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, kehilangan Allahyarham disedari isterinya yang berusia 28 tahun selepas mangsa masih belum pulang ke rumah dan tidak kelihatan keluar melalui pintu pagar utama ladang berkenaan selepas waktu Isyak.
Beberapa kakitangan ladang turut menjalankan usaha pencarian kerana pada awalnya menyangka mangsa tersesat di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, usaha berkenaan terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat serta paras air sungai yang semakin meningkat.
Isteri mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 1 pagi.
Mohd Jumazanzahir meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Adzrull Hisham, menerusi talian 07-9325811 bagi membantu siasatan.