'Ayah tidak pernah berhenti membaca' - Anak A Samad Said

Iklan
Az Abd Samad ketika selesai solat jenazah Allahyarham ayahnya di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar pada Rabu.

BANGSAR -"Baca, baca dan baca." Itu antara perkara diharapkan anak Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri A Samad Said, Az Abd Samad agar menjadi teladan kepada masyarakat dalam mengenang jasa dan legasi bapanya.

Az Abd Samad berkata, bapanya tidak pernah berhenti membaca dan menelaah buku meskipun sudah menjangkau usia lanjut, malah ada sesetengah buku dibaca berulang kali.

Iklan
Iklan

Menurutnya, amalan tersebut membuktikan bahawa seseorang tidak seharusnya berhenti menimba ilmu dan menambah pengalaman tanpa mengira peringkat usia.

"Saya tidak dapat bercakap bagi pihak ayah saya, tetapi barangkali ayah saya akan berkata, baca, baca dan baca.

Iklan

"Saya rasa perkara paling penting ialah sehingga usia lanjut, ayah saya tidak pernah berhenti membaca dan menelaah buku. Ada kalanya, sesebuah buku itu dibacanya berulang kali," katanya ketika ditemui selepas jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada Rabu.

Az Abd Samad berkata, beliau berharap contoh ditunjukkan bapanya dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus membaca, meningkatkan ilmu pengetahuan dan memperbaiki diri.

Iklan

"Pada apa-apa peringkat kehidupan sekalipun, kita sentiasa boleh meningkatkan ilmu dan menambah pengalaman melalui pengalaman orang lain yang dikongsikan dalam buku serta bahan bacaan.

"Insya-ALLAH, saya berharap contoh yang ditunjukkan oleh beliau itu dapat dijadikan inspirasi untuk kita terus membaca dan memperbaiki diri.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyampaikan ucapan takziah, berkongsi kenangan serta pengalaman bersama Allahyarham.

Katanya, perkongsian itu menunjukkan bagaimana karya Allahyarham dalam bidang puisi, teater dan novel telah memberi inspirasi kepada pelbagai lapisan masyarakat.

"Bagi pihak keluarga, kami sememangnya tidak mampu membalas segala budi baik, doa dan ucapan yang disampaikan kepada kami.

"Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia kerana berkongsi kecintaan terhadap seni, karya-karya ayah saya serta sumbangan beliau," katanya.

Mengulas kenangan bersama bapanya, Az Abd Samad berkata, Allahyarham merupakan seorang ayah yang jujur dengan dirinya sendiri, selain tidak terlalu tegas dalam mendidik anak-anak.

Ujarnya, Allahyarham lebih gemar memberikan contoh dan nasihat apabila diperlukan, selain memberi ruang kepada anak-anak untuk belajar daripada kesilapan sendiri.

Sementara itu, beliau berkata, Allahyarham dibawa ke hospital dalam keadaan kecemasan pada Isnin sebelum dimasukkan ke wad pada Selasa selepas menjalani beberapa pemeriksaan.

Katanya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.10 petang dengan ahli keluarga serta rakan-rakan terdekat berada di sisi beliau.

"Alhamdulillah, ahli keluarga serta rakan-rakan terdekat berpeluang berada bersama beliau pada saat itu," katanya.