SEREMBAN - Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan papan seterika.
Tertuduh, Muhammad Haiqal Saleh, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berusia 26 tahun dengan cara memukul bahagian belakang badannya menggunakan papan seterika sehingga cedera.
Kesalahan itu dilakukan pada 22 November 2026 kira-kira jam 6.40 petang di sebuah bilik di Seremban Prima Central di sini.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksan, boleh dihukum penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan ke atas sabitan bagi kesalahan di bawah seksyen yang relevan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Beliau turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya tertuduh tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Peguam, Asmawi Ismail dalam rayuan memaklumkan tertuduh bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 dan merupakan pencari nafkah tunggal keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 dengan syarat tambahan diminta pihak pendakwaan.
Sekiranya tertuduh didapati menganggu mangsa, kemungkinan jaminannya akan dibatalkan dan sebutan semula kes 22 Disember depan.