Empat lelaki ditahan, syabu RM5.189 juta dirampas

Iklan
Mohd Yusri (empat dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan berkenaan.

GEORGE TOWN - Seorang lelaki tempatan dipercayai menjadi perancang utama sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan yang berjaya dibongkar Pasukan Polis Marin Wilayah Satu menerusi rampasan dadah bernilai RM5.36 juta.

Suspek yang dipercayai berperanan sebagai dalang kegiatan itu turut dikatakan menerima bayaran RM12,000 bagi setiap perjalanan.

Iklan
Iklan

Sindiket berkenaan dipercayai sudah melakukan enam perjalanan sebelum kegiatan mereka dipatahkan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejayaan itu hasil pelaksanaan Op Taring Gelora 49/2026 pada 14 November lalu.

Iklan

Menurutnya, operasi itu dilaksanakan susulan maklumat risikan mengenai pergerakan sebuah bot fiber yang disyaki digunakan untuk menyeludup dadah ke negara jiran.

"Operasi yang bermula kira-kira jam 9 malam itu dilaksanakan Unit Risikan Marin dengan kerjasama bot ronda PSC 45, PSC 60 dan VIP 01, membabitkan seorang pegawai serta 18 anggota.

Iklan

“Apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, bot berkenaan bertindak memecut laju dan melakukan beberapa aksi berbahaya bagi mengelak ditahan sebelum berjaya dipintas kira-kira jam 10.30 malam,” katanya pada sidang media di Markas Polis Marin Wilayah Satu, Batu Uban, di sini pada Rabu.

Beliau menambah, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan dua lelaki warga Indonesia sebelum polis menemui lima guni putih mengandungi 100 bungkusan plastik berwarna keemasan berlabel VIP 666 yang disyaki dadah.

Katanya, dadah syabu seberat 100.3798 kilogram (kg) itu dianggarkan bernilai RM5.189 juta.

"Kita merampas sebuah bot fiber dan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk dadah, bot dan kenderaan dianggarkan RM5.361 juta. Rampasan ini juga dianggarkan mampu dibekalkan kepada 518,990 penagih jika ia terlepas ke pasaran,” katanya.

Mohd Yusri menambah, hasil tindakan susulan berdasarkan maklumat risikan dan siasatan terhadap tangkapan awal, polis melakukan serbuan kedua pada hari berikutnya di sebuah rumah di Kampung Sungai Layar Hujung, Sungai Petani, Kedah.

Mohd Yusri (kiri) menunjukkan gambar suspek dan lokasi serbuan.

Menurut beliau, serbuan itu membawa kepada penahanan dua lagi lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warga Indonesia.

"Rumah itu merupakan rumah kongsi yang turut didiami suspek keempat manakala lelaki tempatan yang dipercayai menjadi dalang sindiket itu menumpang di kediaman berkenaan.

"Siasatan turut mendapati lelaki tempatan berusia 36 tahun itu memiliki sebuah kedai runcit di Selangor yang mana, rumah kongsi berkenaan dijadikan transit dadah berkenaan.

"Bekalan dadah berkenaan dipercayai diperolehi di Sungai Petani, Kedah sebelum dibawa menggunakan laluan laut ke negara jiran," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat.

"Dengan penahanan itu, jumlah keseluruhan suspek yang diberkas ialah empat lelaki terdiri daripada tiga warga Indonesia dan seorang warga tempatan berusia antara 31 hingga 36 tahun.

"Kita sedang mengenal pasti sumber bekalan dadah, pihak yang membiayai kegiatan serta kemungkinan pembabitan rangkaian jenayah rentas sempadan," ujarnya.

Mohd Yusri berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sepanjang Januari hingga November tahun ini, Polis Marin Wilayah Satu merekodkan 151 kes berkaitan Akta Dadah Berbahaya dengan 188 tangkapan serta nilai rampasan berjumlah RM12 juta.

"Secara keseluruhan, sebanyak 2,375 kes direkodkan dalam tempoh sama dengan 1,492 tangkapan dan nilai rampasan mencecah RM188 juta.

"Polis Marin akan terus mempergiat risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan khususnya di kawasan perairan berisiko bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah serta jenayah rentas sempadan," jelasnya lagi.