ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menahan lima individu termasuk tiga remaja berumur antara 13 hingga 15 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti lumba haram menerusi operasi di kawasan Gunung Keriang di sini pada Selasa.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, dalam operasi yang bermula pada 6.15 petang itu, pihaknya turut menahan sepasang kekasih berusia 20 dan 21 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti terbabit.
Beliau berkata, motosikal yang digunakan pasangan itu turut disita selepas pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan telah diubah suai, termasuk tidak mempunyai brek belakang serta pengubahsuaian pada bahagian enjin dan ekzos, selain menggunakan tayar jenis"tayar sotong”.
"Tiga remaja berumur antara 13 hingga 15 tahun yang berada di lokasi turut ditahan kerana menunggang motosikal di bawah umur dan disyaki terlibat dalam aktiviti tersebut,” katanya kepada pemberita pada sidang media Operasi Khas Lumba Haram di sini pada Selasa.
Stien berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 162 motosikal dan kenderaan diperiksa, manakala 110 notis atau saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata, pihaknya turut mengesan 14 kes membabitkan penunggang motosikal bawah umur serta sembilan kesalahan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut peraturan di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].
JPJ Kedah katanya, tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang sengaja mempertaruhkan nyawa sendiri dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain melalui kegiatan lumba haram serta aksi tunggangan berbahaya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap pergerakan dan aktiviti anak-anak, khususnya golongan remaja yang menggunakan motosikal bagi mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan berbahaya. - Bernama