IPOH - Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas empat pertuduhan menyalahgunakan harta dan menipu melibatkan wang modal projek usaha sama pembalakan berjumlah RM700,000, lima tahun lepas.
Bekas Pengerusi Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Nasaruddin Pemulihan Perak Tengah Berhad (KPPRFNPPTB), Mohd Adib Abu Samah, 70, dan anaknya yang juga bekas Pegawai Khas Projek koperasi itu, Mohd Azhairy Mohd Adib, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua mereka selaku Ahli Lembaga Pengarah KPPRFNPPTB didakwa dengan niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah RM100,000 yang merupakan sebahagian daripada wang modal RM700,000 kepunyaan Koperasi Luar Bandar Malaysia Berhad (KLBMB) bagi tujuan Projek Usahasama Menjalankan Kerja-Kerja Pengusahasilan Hutan Simpan Negeri Perak.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa atas kesalahan serupa, masing-masing membabitkan wang berjumlah RM250,000 dan RM100,000 daripada sumber modal serta projek yang sama.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank Maybank Islamic Berhad Cawangan Batu Gajah, di sini masing-masing pada 28 Dis 2021, 6 Januari 2022 dan 15 Februari 2022.
Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, kedua-dua beranak itu didakwa menipu Pengerusi KLBMB, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dengan memperdayakannya untuk mempercayai projek usaha sama pembalakan di Hutan Simpanan Kekal Perak menerusi pengemukaan surat kelulusan kawasan membalak bagi catuan 2021.
Perdayaan itu mendorong mangsa menyerahkan dua cek CIMB Islamic berjumlah RM700,000 ke akaun Maybank Islamic milik KPPRFNPPTB di bank sama antara 24 November 2021 hingga 23 Disember 2021, sedangkan kelulusan kawasan membalak tersebut telah dijual kepada seorang individu lain.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebat serta denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Afiq Mohd Adenan dan G Nanthini yang menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Muhammad Wafi Anuar yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jaminan dikurangkan atas alasan Mohd Adib yang menghidap penyakit buah pinggang hanya bergantung pada wang pencen RM1,300 sebulan serta menanggung seorang anak di universiti, manakala Mohd Azhairy bekerja sebagai penghantar makanan dengan pendapatan kira-kira RM1,500 hingga RM1,800 sebulan untuk menyara isteri dan lima anak yang masih bersekolah.
Hakim Meor Sulaiman kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan Mohd Adib melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur, manakala Mohd Azhairy di pejabat SPRM Ipoh pada Jumaat pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan supaya kesemua kes dibicarakan bersama dan menetapkan 20 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen. - Bernama