ANTALYA – Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Turkiye berakhir tanpa persetujuan menyeluruh selepas negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain menolak draf perjanjian yang gagal menyentuh secara jelas isu peralihan daripada penggunaan bahan api fosil.
Kebuntuan itu berlaku selepas rundingan berlangsung lebih dua minggu dan dilanjutkan selama dua hari, menjadikan COP31 antara persidangan iklim paling panjang pernah diadakan.
Presiden persidangan, Murat Kurum berkata, tiada lagi teks baharu akan dikemukakan selepas usaha mencapai kompromi gagal.
Menteri Alam Sekitar Ireland, Darragh O'Brien yang mewakili EU berkata, blok itu tidak dapat menerima perjanjian yang langsung tidak menyebut bahan api fosil, sedangkan pengurangan penggunaan arang batu, minyak dan gas merupakan antara langkah utama menangani pemanasan global.
Arab Saudi dan beberapa negara pengeluar minyak pula mempertahankan peranan bahan api fosil dalam ekonomi dunia untuk tempoh mendatang.
Selain isu bahan api fosil, negara membangun turut membantah kekurangan komitmen jelas mengenai pembiayaan iklim.
Draf perjanjian mencadangkan peningkatan tiga kali ganda dana penyesuaian iklim, namun tidak menetapkan garis asas atau mekanisme pembiayaan yang terperinci.
Negara rentan perubahan iklim berpendapat negara maju perlu menyediakan sokongan kewangan lebih kukuh bagi membantu mereka menghadapi banjir, kemarau, gelombang haba dan bencana berkaitan cuaca.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan negara anggota mencapai persetujuan.
Kegagalan mencapai deklarasi politik bersama itu merupakan yang pertama sejak rundingan iklim PBB di Copenhagen pada 2009.
Bagaimanapun, keputusan COP terdahulu dan komitmen sedia ada di bawah Perjanjian Paris masih berkuat kuasa. - Agensi